fbpx

Sang Kenari sentak mimpi panjang Harimau Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain KDA FC meraikan kejayaan mengikat Harimau Selatan 3-3 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin. – SHAHIR NOORDIN

KETUA jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain menyifatkan aksi ditampilkan anak-anak buahnya ketika mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah gambaran sebenar bentuk permainan yang perlu dipersembahkan pada setiap baki perlawanan selepas ini.

Menurut penerima Anugerah Jurulatih Terbaik Kebangsaan 2022 itu, para pemain dilihat menampilkan keyakinan tinggi untuk mengaplikasikan sepenuh­nya bentuk taktikal yang mahu diterapkannya dalam perlawanan tersebut.

Justeru katanya, beliau amat berterima kasih kepada barisan pemain kerana menampilkan aksi yang baik dan menarik untuk ditonton.

“Ini merupakan satu mata yang amat berharga untuk kita terus berjuang dalam kelompok teratas. Persiapan kita sebenarnya sama saja seperti perlawanan dilalui sebelum ini tetapi apabila berdepan pasukan besar, sudah tentu fokus serta motivasi pemain dengan sendirinya akan meningkat.

“Keadaan itu pada akhirnya menghasilkan satu perlawanan berbeza tahapnya berbanding sebelum ini. Perlawanan itu jelas berintensiti tinggi dengan kedua-dua pasukan saling menyerang serta menghasilkan aksi menarik untuk dilihat sepanjang tempoh 90 minit,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhir perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin.

Nafuzi berkata, para pemain perlu sentiasa percaya dengan taktikal yang dilaksanakan dan mereka perlu memiliki keyakinan tinggi untuk bertemu sesiapa saja.

Pada aksi yang disifatkan ba­nyak pihak sebagai terbaik pada musim ini, Sang Kenari mengejutkan pasukan pelawat apabila mereka terlebih dahulu memimpin perlawanan menerusi dua gol dihasilkan Ifedayo Olusegun serta Manuel Ott pada minit ke-35 dan 50.

JDT kemudian melakukan kebangkitan dengan menjaringkan tiga gol pada minit ke-51, 55 dan 73 menerusi Corbin Ong, Heberty Fernandes serta Arif Aiman, namun hasrat mereka untuk mencatat kemenangan terbantut.

Ia apabila pemain gantian KDA FC dari Tajikistan, Amirbek Juraboev menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit terakhir perlawanan.

Mengulas mengenai sasaran realistik bagi mencapai kedudukan kedua Liga Super musim ini, Nafuzi mengakui akan cabaran yang perlu dihadapi memandang­kan KDA FC akan berdepan pasukan-pasukan kuat seperti KL City, Sabah FC dan Selangor FC.

Namun katanya, keadaan itu juga baik buat KDA FC kerana Sang Kenari tidak perlu bergantung kepada orang lain untuk ‘merebahkan’ pasukan-pasukan kuat tersebut, bagi memastikan mereka kekal berada di atas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI