fbpx

Liga Malaysia: KDA FC enggan berbelanja mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Habib Haroon dan Sony Norde antara tonggak import baharu KDA FC musim ini. - Foto ihsan KDA FC

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) melakukan penstrukturan semula kelab itu bagi mengharungi musim 2024/2025 termasuk melakukan pemotongan peruntukan sehingga 35 peratus berbanding musim lalu.

Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, gaji pemain dan kakitangan selain jumlah pemain import turut dikurangkan bagi memastikan kelestarian kewangan kelab mampu bertahan sehingga akhir musim.

Kata beliau, pengurangan itu wajar dilakukan memandangkan musim pertandingan kali ini disifatkan sebagai abnormal kerana melibatkan tempoh kontrak antara 14 ke 15 bulan yang memberi kesan kepada perancangan kewangan, berbeza dari musim sebelum ini.

“Pemain termasuk yang baru menyertai pasukan setuju terima gaji lebih rendah daripada sebelum ini. Saya rasa kredit perlu diberikan kepada Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain yang memberi inspirasi kepada mereka untuk sanggup bersama pasukan dengan situasi pengurangan gaji.

“Kami berterus terang yang kita ada masalah dan semua pihak kena sedar proses dilalui cukup sukar. Hari ini kita berada dalam keadaan tsunami kewangan yang bukanlah teruk sangat, tetapi ada sikit nafas dan mereka setuju bersama pasukan,” katanya pada sidang akhbar di Alor Setar, semalam.

Berhubung isu tunggakan gaji musim lalu, Mohd. Daud berkata, pihak pengurusan juga sedang berusaha melunaskan sebahagian tunggakan iaitu 50 peratus baki gaji pasukan untuk musim 2023.

“KDA FC dalam proses melunaskan sebahagian tunggakan iaitu 50 peratus baki gaji pasukan musim 2023. Pihak pengurusan dalam usaha melunaskan sepenuhnya tunggakan ini mengikut syarat yang diberikan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” jelasnya.

Sementara itu, berhubung isu penajaan yang dihadapi KDA FC tahun lalu, beliau mengakui tidak mudah untuk menguruskan perkara itu memandangkan pasukan diibaratkan bergantung kepada belas ihsan penaja yang mempunyai reputasi perniagaan tersendiri.

Beliau berkata, pihaknya tidak bercadang untuk mengambil pendekatan undang-undang yang akan memberi kesan negatif kerana ia membabitkan hubungan lama.

“Kita tak mahu kalau ambil pendekatan drastik, penaja lain pun takut nak menaja. Tahun lepas bukan mereka tak bantu tapi aliran tunai mereka juga bermasalah termasuk kematian pengasas, perubahan pemegang taruh, perubahan operasi bisnes, kita nampak kekangan mereka yang bukannya sengaja tak mahu bayar.

“Tahun ini kita bekerjasama dengan beberapa bakal penaja dan kita cuba tambah baik sedikit klausa undang-undang bagi mereka rasa keperluan untuk bantu pasukan. Isu ini diharapkan tak berlaku lagi tahun ini walaupun tetap akan boleh berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Daud, KDA FC bergantung sepenuhnya kepada penajaan yang tidak sama seperti pasukan lain yang mempunyai peruntukan khas daripada kerajaan negeri untuk tempoh semusim.

Dalam pada itu kata beliau, fokus pengurusan ketika ini adalah untuk membina kembali zaman kegemilangan bola sepak Kedah seperti musim 2007/2008 dengan memberi peluang kepada sebahagian skuad double treble ketika itu berkhidmat membantu kelab.

“Kita telah melantik bekas ‘maestro’ bahagian tengah pasukan Sang Kenari, Nelson Sam Martin selaku Pengarah Teknikal baharu KDA FC, Ahmad Fauzi Saari selaku Koordinator pasukan Liga Super serta Helmi Eliza Elias selaku penolong jurulatih penjaga gol.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar bakal menjadi Pengurus Pasukan KDA FC B, selain Shafizan Hashim sebagai Koordinator pasukan itu manakala Victor Andrag serta Abd. Hadi Abd. Hamid pula kekal dengan peranan mereka,” katanya.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI