fbpx
DI lokasi inilah mayat seorang bapa dicampak anaknya di Jalan PJS 10/24, Petaling Jaya pada Jumaat lalu.

Bunuh, balut sebelum buang mayat bapa tepi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sungguh kejam apabila seorang anak sanggup membunuh bapanya sendiri sebelum mayat mangsa dibalut dengan kain langsir dan kemudian dicampak di tepi jalan di hadapan sebuah kondominium di Jalan PJS 10/24, di sini pada Jumaat lalu.

Suspek lelaki berusia 40-an memukul bapanya berumur 74 tahun sehingga mati dengan menggunakan penyodok di rumah mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam.

Ketika tragedi berdarah itu berlaku, suspek dikatakan berada dalam keadaan mabuk.

Jiran keluarga itu yang dikenali sebagai Raj memberitahu, dia dimaklumkan oleh keluarga mangsa mengenai kejadian tersebut pada waktu malam.

Sebelum kejadian, katanya, dia ternampak suspek dan rakannya makan di sebuah restoran berdekatan rumah sekitar pukul 3 petang, manakala mangsa pula dilihat berada di restoran yang sama pada pukul 9 malam.

“Dalam pukul 10 malam, kejadian itu dikatakan berlaku selepas mereka pulang ke rumah.

“Selepas suspek pukul ba­panya, dia telah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada kawannya dan pada malam itu juga, polis telah datang ke lokasi kejadian untuk mencari mayat yang dibuang,” katanya kepada Kosmo! semalam.

MAYAT seorang bapa dicampak anaknya selepas dipercayai dibunuh di tepi Jalan PJS 10/24, Petaling Jaya.

Jarak di antara lokasi mayat dicampak dengan rumah mangsa kira-kira 1.5 kilometer.

Raj berkata, ketika kejadian, suspek dikatakan dalam keadaan mabuk, namun punca sebenar lelaki terbabit memukul bapanya mati masih belum diketahui.

Menurutnya, suspek hanya tinggal di rumah tersebut berdua bersama dengan bapanya.

Sementara itu, sumber memberitahu, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati, si mati me­ngalami kecederaan pada kepala, tangan sebelah kiri disyaki patah dan kesan lebam di bahagian dada.

Katanya, pemeriksaan di lokasi rumah juga menemui kesan tompokan darah pada din­ding bilik tidur si mati serta kesan seretan di bahagian ruang tamu.

“Pemeriksaan pada sebuah kereta pula menjumpai kesan tompokan darah di tempat duduk penumpang belakang.

“Hasil soal siasat awal ke atas suspek, dia mengaku telah memukul si mati sehingga menyebabkan kematian,” ujarnya.

Difahamkan, suspek mempunyai dua rekod jenayah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN