fbpx

4 juta kanak-kanak mangsa banjir Pakistan perlu bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK menghadiri sesi pembelajaran di sekolah bergerak berhampiran kem sementara di Jaffarabad pada 9 Januari lalu. - AFP

BANDAR RAYA NEW YORK – Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menganggarkan seramai empat juta kanak-kanak di Pakistan masih memerlukan bantuan kemanusiaan dan akses kepada bekalan asas, setahun selepas bencana banjir buruk menjejaskan sebahagian besar negara itu.

Saluran televisyen Republic World melaporkan, amaran itu dikeluarkan ketika wilayah Punjab sekali lagi dilanda banjir minggu lepas sehingga memaksa lebih 100,000 orang di daerah Kasur dan Bahawalpur dipindahkan akibat Sungai Sutlej melimpah.

Lebih enam bulan lalu, berpuluh-puluh negara dan institusi antarabangsa dalam satu persidangan yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikrar untuk memberi bantuan sebanyak AS$9 bilion (RM41.7 bilion) bagi membantu membaik pulih dan membina semula kawasan yang terjejas akibat banjir di Pakistan.

Namun, kebanyakan ikrar adalah dalam bentuk pinjaman projek, yang masih dalam peringkat perbincangan.

“Hujan monsun musim kali ini semakin buruk dan mengancam keadaan komuniti di kawasan-kawasan yang sudah sedia terjejas akibat banjir tahun lepas,” kata UNICEF dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu, dianggarkan seramai lapan juta orang dengan separuh daripadanya ialah kanak-kanak, terus hidup tanpa akses kepada bekalan air selamat di kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir.

Selain itu, lebih 1.5 juta kanak-kanak masih memerlukan bantuan nutrisi yang mampu menyelamatkan nyawa di daerah-daerah terjejas.

“Kanak-kanak yang terdedah yang tinggal di kawasan-kawasan terjejas dengan banjir mengharungi tahun yang sukar.

“Mereka kehilangan orang tersayang, rumah dan sekolah,” kata wakil UNICEF di Pakistan, Abdullah Fadil sambil menambah, hujan monsun yang berulang tahun ini meningkatkan kebimbangan berulangnya bencana besar sekali lagi.

Banjir tahun lepas di Pakistan telah menyebabkan kerosakan bernilai lebih AS$30 bilion (RM139.2 bilion) dengan sebahagian besar negara itu ditenggelami air selama berbulan-bulan.

Ia menjejaskan 33 juta penduduk dan meragut 1,739 nyawa selain memusnahkan atau merosakkan 30,000 buah sekolah, 2,000 kemudahan kesihatan serta 4,300 sistem air.

UNICEF berkata, satu pertiga daripada kanak-kanak telah pun tercicir daripada persekolahan sebelum kejadian banjir itu. Ia kini diburukkan lagi oleh keadaan kekurangan zat makanan yang telah mencapai tahap kecemasan.

Selain itu, akses kepada bekalan air minuman dan sanitasi juga berada dalam keadaan membimbangkan.

Dalam pada itu, seorang jurucakap agensi pengurusan bencana tempatan, Ajay Kumar berkata, meskipun wilayah Sindh ialah satu daripada kawasan paling teruk terjejas tahun lepas, pihaknya sudah tidak menerima sebarang aduan atau permintaan bantuan daripada daerah-daerah terjejas oleh banjir.

“Penduduk yang tinggal di kem-kem bantuan di tepi jalan telah kembali ke rumah mereka kerana telah menerima pampasan ke atas kerosakan dan kerugian yang ditanggung.

“Organisasi-organisasi tempatan juga sedang menjalankan pembinaan semula rumah, sekolah dan kemudahan kesihatan. Apa yang saya boleh katakan situasi di sini (Sindh) adalah normal,” jelasnya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI