SEPANJANG 30 tahun bertugas sebagai penyelamat laut di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor, pelbagai pengalaman telah dilalui dan ada yang terpatri menjadi memori tidak dapat dilupakan.
Bagi Salahuden Abu Bakar, 51, pengalaman menyelamatkan orang ketika lemas adalah perkara biasa baginya.
Dia pernah menyelamatkan sembilan orang daripada 12 orang pengunjung yang berdepan detik lemas.
Bagaimanapun katanya, pengalaman agak ‘mistik’ yang dialami adalah perkara tidak dapat dilupakan sehingga kini.
Menurutnya, sebagai orang Islam, sudah semestinya kita harus percaya bahawa wujudnya makhluk-makhluk lain di atas bumi ini.
Katanya, hukum alam sendiri menyatakan bahawa bukan manusia sahaja yang bermastautin di muka bumi ini, tetapi ada kehidupan tidak kelihatan pada pandangan mata kasar.
Menurutnya, peristiwa 16 tahun lalu merupakan memori paling tidak dapat dilupakan sepanjang bertugas sebagai penyelamat laut.
“Jika tanya saya apa pengalaman paling tidak boleh dilupakan, sudah pasti ketika saya sedang melakukan aktiviti latihan selaman berseorangan.
“Sebagai penyelamat di laut, menyelam merupakan salah satu kemahiran penting yang perlu ada.
“Di sini, saya memang sudah biasa melakukan latihan menyelam sendiri.
“Satu hari ketika sedang menyelam jauh ke dasar laut, secara tiba-tiba halwa telinga saya terdengar bunyi paluan kompang, suara orang riuh-rendah seperti aktiviti rewang majlis perkahwinan di sebuah kampung.
“Ketika itu, saya dalam keadaan sedar dan semuanya kedengaran begitu jelas.
“Aktiviti itu berlaku sama seperti kita sedang rewang di darat.
“Pada masa sama, saya tidak nampak bayangan orang atau apa-apa.
“Agak mustahil jika ‘bunyi-bunyi’ itu daripada aktiviti di darat kerana saya berada jauh di dasar laut.
“Hampir setengah jam juga saya leka mendengar riuh-rendah tersebut. Tidak lama selepas itu, saya terus beredar.
“Pengalaman ini juga saya kongsikan kepada keluarga dan kenalan kerana ia sesuatu yang luar biasa bagi saya.
“Memang jelas kebesaran Allah SWT yang turut menciptakan alam ghaib di bumi ini, bukan sahaja di darat tetapi di dalam laut.
“Sebagai hamba-Nya, kita memang kena percaya kewujudan alam lain yang tidak nampak dan hanya Tuhan yang mengetahui,” katanya.
Bapa kepada dua orang anak itu berkata, dia juga pernah berdepan pengalaman bertemu ikan pari gergasi dan ekornya sepanjang lima meter.
Katanya, ketika kejadian itu, dia sedang melakukan aktiviti latihan selaman kira-kira pada pukul 11 pagi.
“Hari masih siang dan cuaca juga dalam keadaan baik ketika saya memulakan selaman, namun secara tiba-tiba saya dapati keadaan laut menjadi gelap.
“Awalnya, saya agak panik. Mana tidaknya, bila saya mendongak ke atas saya dapati kepala seekor ikan pari gergasi yang begitu besar.
“Besarnya sama dengan keluasan bumbung rumah dan itu pertama kali saya lihat.
“Jika ditakdirkan ikan pari tersebut menghempap saya pada ketika itu, memang umur saya tidak panjang. Ketika itu, saya hanya berdoa agar ikan tersebut segera pergi.
“Saya berkata di dalam hati, ‘jangan kacau aku, aku sekadar mahu mencari makan’.
“Syukur, apabila ikan itu pergi dan dengan segera saya terus naik ke darat,” katanya yang telah menjadi penyelamat laut sejak usia 19 tahun.
Sementara itu, Salahuden berkata, dia menafikan kawasan batu di pantai tersebut sebagai lokasi ‘makan orang’ ekoran banyak kes lemas di situ.
Katanya, tiada perkara mistik, namun yang ada hanyalah arus deras sehingga mampu mengundang bahaya kepada pengunjung.
“Di sini memang kita pasang bendera merah sebagai amaran kepada pengunjung agar tidak mandi-manda di tempat tertentu terutama di kawasan berbatu.
“Bukan di pantai ini sahaja, pantai lain yang berbatu juga sangat berisiko kerana di situ terdapat tarikan arus kuat.
“Kebanyakan kes lemas berlaku adalah disebabkan sikap pengunjung sendiri.
“Ini kerana mereka tidak mengendahkan amaran yang dikeluarkan lebih-lebih lagi pada musim monsun.
“Oleh itu, sebagai penyelamat kita memang sudah tahu dan akan memberikan lebih perhatian terutama pada musim monsun.
“Ini termasuklah memberi amaran awal bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
















