fbpx

Cadangan gaji tetap kepada guru KAFA dikaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im menyampaikan sijil dan plag kepada wakil negeri pada Majlis Penutup Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan kali Ke-8 Tahun 2023 di Port Dickson hari ini. Foto oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI/KOSMO!

PORT DICKSON – Kerajaan akan melakukan kajian dan pertimbangan berkenaan pemberian elaun kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) kepada bentuk gaji tetap dalam Belanjawan 2024 akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia antara perkara perlu diperhalusi bagi memastikan kebajikan guru-guru KAFA di negara ini terbela.

“Itu (elaun kepada gaji tetap) memang dalam pertimbangan cuma banyak perkara yang perlu dilihat termasuk daripada sudut kedudukan kewangan negara dan struktur sendiri.

“Kita mengambil kira pertimbangan asas adalah kita hendak pasukan guru KAFA kebajikannya terpelihara dan terlindung dan dijaga. Itu harapan kita kerana guru KAFA ini yang mendidik anak-anak dan kalau kita tidak jaga kebajikan mereka sukar untuk mereka nak mendidik anak-anak dengan gembira dan tenang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Ihtifal Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-8 Tahun 2023 di sini hari ini.

Seramai 672 orang menyertai enam acara yang dipertandingkan iaitu tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, bercerita kisah al-Quran, khat, jawi dan nasyid.

Negeri Johor muncul johan keseluruhan dalam pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd. Na’im berkata, kuasa dan tindakan berkaitan kejadian zikir menari yang didakwa berlaku di Makam Tok Kenali di Kelantan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa penuh jabatan agama Islam di peringkat negeri terbabit.

Beliau berkata, jabatan agama negeri akan menentukan daripads sudut hukum kepada isu terbabit.

“Saya berpandangan bahawa Mufti Kerajaan Negeri Kelantan (dalam konteks ini) merupakan pihak yang berautoriti untuk menentukan dari sudut hukum berkaitan amalan yang dilakukan di perkuburan tersebut itu,” katanya.

Mohd. Na’im menjelaskan lagi, orang Islam sememangnya digalakkan menziarahi kubur dan perlu mengikut adab ketika menziarah kubur.

“Secara umum kita memang digalakkan untuk menziarahi kubur kerana dengan menziarahi kubur itu kita lebih mengingati mati.

“Itu asas kenapa diharuskan dan digalakkan untuk menziarahi kubur. Selain itu, menziarahi kubur sama juga macam kita menziarahi orang sakit ada adabnya dan peraturan yang ditentukan dalam agama Islam,” katanya.

Pada 24 Ogos lalu, media melaporkan cicit kepada Tok Kenali menegaskan rakaman video yang menunjukkan sekumpulan individu berzikir beramai-ramai dengan kaedah luar daripada kebiasaan bukan ajaran ulama terkenal itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI