fbpx

RAC tawar 10 tapak tanah kereta api untuk dibangun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan bagi Pembinaan Stesen Kereta Api Segambut 2 dengan UOA Group diwakili Pengarah Eksekutifnya, Pak Lim Kong (kiri) dan RAC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhar Ahmad (kanan) di Kuala Lumpur hari ini. - Foto SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perbadanan Aset Keretapi (RAC) menawarkan 10 tapak tanah kereta api dengan keluasan 369.452 ekar untuk dibangunkan dalam usaha menjana pendapatan negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua tapak tersebut terletak di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perlis dan Kelantan dengan lima daripadanya di dalam jajaran kereta api yang tersedia.

Menurutnya, ia sesuai dimajukan dengan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) antaranya di Kempas, Johor, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Salak Selatan di Kuala Lumpur, Stesen Keretapi Wakaf Bharu, Kelantan dan Stesen Keretapi Padang Besar di Perlis.

“Kita pamerkan tapak tanah bakal dibangunkan ini yang mana RAC diberi mandat mengurus tadbir serta menjaga aset kerajaan terutama aset-aset kereta api termasuk tanah sekeliling landasan di seluruh negara.

“Ada tanah ini sesuai dibangunkan menerusi modal pembangunan TOD untuk menjana pendapatan kepada kerajaan melalui RAC. Apa sahaja pulangan yang kita perolehi daripada pembangunan ini dapat dijanakan semula kepada pembangunan sektor rel.

“Konsep kita bawa ialah bukan pemaju, kita pemilik tanah persekutuan. Tapi tanah ini boleh dijanakan pendapatan dengan kaedah kerjasama yang mana kita menggalakkan pembangunan oleh pihak swasta,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada pameran hartanah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan bagi Pembinaan Stesen Kereta Api Segambut 2.

Anthony berkata, sekiranya pembangunan dapat dibuat ke atas 10 tapak tersebut, ia akan menjadi pemangkin pembangunan di kawasan setempat serta mengubah wajah di lokasi itu jika TOD dilaksanakan.

“Ini suatu pendekatan baharu kita cuba terapkan melalui RAC supaya pengangkutan ini bukan sahaja membawa penumpang dari satu tempat ke satu tempat, bahkan kita mahu menjadikan pengangkutan sebagai pemangkin ekonomi.

“Maka pelbagai aktiviti komersial boleh dilaksanakan di kawasan berdekatan stesen kereta api. Justeru, kita tawarkan kepada pihak swasta yang berminat dan kita jemput 30 syarikat tersenarai dalam Bursa Kuala Lumpur dan pemaju untuk datang melihat selain boleh hantar cadangan kepada kita,” katanya.

Sementara itu, turut berlangsung Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan bagi Pembinaan Stesen Kereta Api Segambut 2 antara RAC dengan IDP Industrial Development Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Kumpulan UOA dan pemaju bagi United Point Residence.

Menerusi perjanjian tersebut, Stesen Kereta Api Segambut 2 akan dibangunkan bersebelahan pembangunan United Point Residence dengan anggaran keluasan 3.397 ekar dengan anggaran 400 penumpang dapat menggunakan stesen kereta api itu pada satu-satu masa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI