fbpx

Manjung penyumbang terbesar aliran trafik di WCE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYED Muhd Naguib memasang pelekat Jalur Gemilang pada kenderaan yang melalui plaza tol Changkat Chermin, WCE di Sitiawan hari ini.

LUMUT – Daerah Manjung menyumbang kira-kira 60 peratus daripada trafik keseluruhan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) ketika ini, kata Ketua Operasi Lebuh Raya WCE, Syed Muhd. Naguib Syed Mohd.

Menurut beliau, ia khususnya di jajaran Perak iaitu dari Hutan Melintang ke Beruas yang merentasi daerah Bagan Datuk, Hilir Perak, Perak Tengah dan Manjung.

“Secara purata, dalam sebulan, sebanyak 865,000 kenderaan menggunakan WCE di jajaran Perak,” katanya pada program Jelajah Konvoi Kembara Merdeka Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, singgah di Pejabat Pengurusan WCE Wilayah Perak, di Ayer Tawar dekat sini hari ini.

Konvoi tersebut turut berhenti di Plaza Tol Changkat Chermin untuk mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengguna kenderaan yang menggunakan laluan tersebut.

Menurut Syed Muhd. Naguib, aliran trafik di jajaran Perak dijangka meningkat apabila laluan Seksyen 11 iaitu dari Beruas ke Taiping Selatan, sejauh 35.5 kilometer (km) yang ketika ini sudah siap 90 peratus, boleh digunakan pada akhir tahun ini.

Jelasnya, bilangan kenderaan juga bakal bertambah apabila jajaran Seksyen 1 dan 2 iaitu dari Banting ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuh Raya Shah Alam (SAE) siap kelak.

Sementara itu, konvoi tersebut disertai 25 kenderaan termasuk motosikal berkuasa tinggi bermula di IPD Manjung, Seri Manjung, dan selain WCE, turut singgah di beberapa sekolah sebelum berakhir di berek polis Beruas, dekat sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI