fbpx

Hamzah Zainuddin sahkan akaun bank miliknya, isteri dibekukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah Zainuddin.

PETALING JAYA – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengesahkan akaun bank miliknya dan isteri telah dibekukan pihak berwajib sejak semalam.

Jelas Ahli Parlimen Larut itu, tindakan tersebut diambil kerana terdapat tekanan dan campur tangan pemimpin-pemimpin politik tertinggi dalam kerajaan di Putrajaya.

“Saya mengesahkan bahawa akaun saya dan isteri telah dibekukan sejak semalam oleh pihak berwajib. Saya percaya bahawa tindakan ini diambil kerana terdapat tekanan dan campur tangan pemimpin-pemimpin politik tertinggi dalam kerajaan di Putrajaya.

“Pembekuan ini, yang kemudiannya disebarkan kepada media merupakan usaha terdesak kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk terus menekan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang semakin mendapat kepercayaan rakyat.

“Ia juga satu taktik kotor berterusan bagi mencipta persepsi buruk terhadap PN terutamanya selepas sokongan majoriti rakyat beralih kepada Perikatan Nasional yang memenangi 146 daripada 245 kerusi DUN baru-baru ini,” jelasnya melalui satu kenyataan, sebentar tadi.

Tambah Hamzah, tindakan pendakwaan politik ini sama dengan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin, di mana Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara diperalatkan bagi mencipta fitnah terhadap pemimpin PN.

“Pendakwaan itu tetapi akhirnya Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan empat pertuduhan kerana cacat, tidak berasas, kabur dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

“Hakim juga memutuskan bahawa pendakwaan tersebut adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Saya pasti bahawa lebih banyak tindakan politik akan diambil ke atas saya dan pemimpin PN dalam masa terdekat, termasuk menggunakan pihak polis bagi menyiasat saya kerana mengkritik DAP dalam kempen Pilihan Raya Negeri,” katanya.

Katanya lagi, kezaliman kerajaan PH-BN ini juga tidak akan menghentikan perjuangannya.

“Demi masa depan negara dan rakyat saya akan terus melawan kerajaan zalim ini. Saya telah menyerahkan suatu surat tuntutan kepada SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kerajaan Malaysia.

“Peguam saya sedang menyediakan kertas-kertas tindakan untuk tujuan memulakan tindakan Mahkamah terhadap mereka kerana mengheret nama saya dalam kes pendakwaan yang tiada kena mengena langsung dengan saya,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI