Perbezaan pendapat dalam kalangan masyarakat termasuk pandangan politik adalah perkara biasa di mana-mana tempat di dunia ini, sepatutnya ia diraikan dan bukannya menjadi punca perpecahan antara umat.
Dalam hidup ini, kita mesti ingat semua orang tidak sempurna dan memerlukan antara satu sama lain sebagai sokongan dan dorongan untuk kebaikan bersama.
Justeru, biar apapun pegangan mazhab dalam agama dan juga kecenderungan politik tertentu, jangan melebih-lebih hingga suka melabel orang lain sebagai pihak yang dilihat tidak betul dalam apa jua keadaan.
Di negara ini, isu melabel sesama Islam sudah wujud sejak sekian lama. Seingat penulis, ketika masih bersekolah di tahun 1980-an lagi, isu seumpama ini meluas dan menjadi barah dalam masyarakat Islam pada ketika itu.
Bukan sedikit yang terjebak melabel sesetengah golongan tidak Islamik dan hanya puak mereka sahaja yang lebih ‘suci’ berbanding orang lain, hinggakan berlaku sembahyang dua imam dan tidak makan sembelihan puak yang satu lagi.
Perkara ini berlarutan agak lama, memakan masa puluhan tahun hingga menjadi bibit-bibit perpecahan dan kebencian dalam kalangan segelintir umat Islam terutama yang cetek agama dan hanya mengikut secara semberono.
Apa yang lebih parah, isu kafir mengkafir berlegar-legar dalam masyarakat ketika itu, seolah-olah golongan tertentu sahaja yang ‘dijamin’ masuk syurga kerana menganggap mereka lebih baik dan suci daripada orang lain.
Lama-kelamaan, isu melabel orang lain tidak Islamik semakin tenggelam selari dengan perkembangan semasa yang mana banyak pihak sudah membuka hati dan perasaan bahawa kerja label melabel adalah sesuatu bukan sahaja tidak rasional, bahkan terlalu ekstrem untuk dihadam.
Bagaimanapun, isu lebel melabel ini tidak terhenti di situ sahaja kerana ia turut merebak kepada perbezaan pandangan atau khilaf dalam sesuatu hukum agama.
Apa yang merunsingkan, perbalahan dalam isu khilaf berlaku dalam kalangan pihak bergelar agamawan.
Isu-isu perbezaan pendapat (khilaf) dalam fiqh adalah perkara biasa dan tidak perlu dirumitkan kerana ia boleh mengelirukan orang awam yang tidak mahir dalam ilmu agama.
Sepatutnya isu perbezaan seperti ini yang boleh membawa perpecahan jika tidak ditangani sebaik mungkin tidak timbul, apatah lagi dalam suasana umat Islam yang jadi ancaman lebih besar daripada musuh-musuh Islam.
Dalam hal ini, syaitan sentiasa mencari kelemahan manusia terutamanya umat Islam dan berusaha melaga-lagakan hubungan sesama umat.
Antara punca yang dikenal pasti berlaku isu melabel dalam bab agama ini adalah berasa diri lebih mulia daripada orang lain, takbur dan sombong, mencari populariti dan sebagainya.
Dalam hal ini, orang agamawan sepatutnya tidak bermain dalam isu seumpama ini memandangkan mereka dipandang tinggi dalam masyarakat.
Perlu diingat, sifat rasa diri lebih baik dari orang lain sebenarnya sifat Iblis, sedangkan kita sedar, kita ni memang manusia yang tak sempurna dan perlu belajar menjadi yang terbaik.














