ANGKA 2023 menunjukkan genap 50 tahun kembara Datuk Jamal Abdillah sebagai pejuang seni suara tanah air yang meletakkan dirinya pada tahap penghibur dihormati.
Sejak menjulang gelaran juara Bintang RTM 1979, momentum kariernya sebagai penyanyi lelaki berkaliber sukar digugat.
Ada sahaja karya baharu, satu persatu undangan persembahan pentas, majlis eksklusif dan konsert disempurnakan bagai tiada lelah, sedangkan usia beliau kini sudah mencecah 64 tahun.

Enggan pencen
Namun katanya, kecintaan terhadap arena nyanyian yang sudah menjadi darah daging sejak sekian lama membuatkannya ingin terus menabur bakat untuk tatapan semua
“Selagi bernyawa, saya mahu terus menyanyi. Tiada istilah pencen dalam kamus hidup saya walaupun sudah 50 tahun menyanyi.
“Nyanyian adalah punca rezeki, jadi saya tidak boleh tolak. Selagi masih laku, selagi ‘on’ lah, mungkin saya takkan bersara hingga akhir hayat.
“Ini juga bidang yang saya minat. Apabila suka kita akan buat sepenuh hati. Saya tak pernah menyesal jadi penghibur,” kata pemilik nama penuh Jamal Ubaidillah Mohd Ali itu.
Tampak teruja dengan kerjaya serta kehidupan yangdilalui, lelaki dengan jolokan Raja Pop itu mengakui mahu menikmati hidupnya dengan gembira.
Katanya, peminat menjadi tunjang kekuatan untuk membolehkannya terus bertahan walau masa berubah, begitu juga dengan cita rasa semasa.
Tiada rahsia atau tips untuk kekal relevan, cuma dedah Jamal, seorang penyanyi perlu memastikan tahap vokal berada pada fasa terbaik.
Itulah modal seorang penyanyi, selain kesihatan.
“Bagi saya modal seorang penyanyi itu adalah suara iaitu vokal kerana tanpa elemen utama itu kita tidak mampu memenuhi permintaan pasaran dan peminat.
“Saya memang jaga suara selain kekalkan stamina memandangkan biasanya persembahan bukan sejam kerana pernah saya menyanyi mencecah tiga jam.

Senaman
“Dari dulu saya jadikan rutin bersenam terutama joging sebagai perkara wajib. Kalau tubuh tak sihat, kita pun susah nak menyanyi,” tambah penyanyi Gadis Melayu itu.
Bapa kepada enam cahaya mata itu menambah, kepercayaan dan sokongan yang diberikan penganjur serta peminat juga antara pembakar semangatnya.
Bercakap tentang perkembangan terbaharu, pada 20 Oktober depan beliau bakal beraksi dalam Konsert Malam Akustika Kekasih Awal dan Akhir yang dijadualkan berdurasi selama dua jam.
Katanya, persembahan berkonsepkan majlis makan malam tersebut dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Loong Sing, Johor Bharu, Johor.
“Sepatutnya saya akan beraksi dalam Jamal Abdillah Live In Concert di Plenary Hall Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada September nanti, namun ada masalah teknikal.
“Tetapi tiket paling mahal untuk konsert tersebut telah habis dijual sebanyak 600 tempat duduk, jadi saya tunggu saja perkembangan lanjut.
“Bagi konsert di Johor Bahru pada Oktober ini, saya akan diiringi Belle Fatah Hassan sebagai pemain piano bersama pemuzik professional termasuk pemain gitar akustik, cello, biola dan violin.
“Saya berani ambil tawaran ini kerana diadakan di luar Kuala Lumpur memandangkan sudah berjanji dengan penganjur Shiraz Project untuk penganjuran konsert di Plenary Hall. Ini untuk eksklusif,” katanya lagi.

Bantu jaga anak
Dalam kesibukan mempersiapkan diri dengan persediaan konsert dan menguruskan bisnes ternakan, anak jati Ipoh, Perak ini turut mengakui teruja melalui hari bersama anak-anaknya.
Dikurniakan empat anak kecil hasil perkahwinan dengan Datin Zai Izzati pada 2017, mereka dikurniakan Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani atau Zack, 2, Iskandar Rayyan Yamani, 1, dan si bongsu, Rahil Laura Salsabila Yamani, empat bulan.
Akuinya walaupun mempunyai pembantu rumah, urusan menyediakan susu bayi terutama pada waktu malam tetap dilakukan secara bergilir-gilir dengan isteri.
“Semua anak- anak tidur dengan kami. Disebabkan bimbang terjatuh, kami bentang tilam di lantai dan tidur beramai-ramai.
“Apabila anak terjaga nak susu, saya pun ada bangun buat, tak pun saya akan tolong tukar lampin. Apabila ramai anak kecil, kena ringan tulang.
“Awal dahulu masa anak pertama lahir agak kekok sebab dah lama tiada anak kecil tapi sekarang saya makin handal,” ujarnya sambil berseloroh.
Menerusi perkahwinan terdahulunya, Jamal memiliki dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17, yang turut mengikuti langkahnya sebagai penyanyi.















