fbpx

Pukul dengan kertas, melawak dengan anak-anak cara orang kampung – Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Muhammad Sanusi menyampaikan sumbangan kepada pelajar berkenaan yang dikongsi di laman Facebook Pas Kawasan Sik

PETALING JAYA – Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengetuk kepala seorang wanita dengan helaian kertas kerana lewat menghantar surat permohonan sumbangan berlaku secara spontan dan hanya niat bergurau.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Pas Kawasan Sik, Muhammad Sanusi berkata, wanita berkenaan adalah seorang pelajar dan dia memohon sumbangan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) pada saat akhir.

Jelasnya, walaupun dilihat ‘memukul’ kepala pelajar terbabit, tetapi sumbangan tetap diberikan dan beliau menganggap itu sebagai melawak cara orang kampung.

“Anak tu nak masuk politeknik esok hari (kelmarin dulu). Pada hari tu baru bagi surat minta sumbangan. Kena lepuk (pukul) lah tapi tetap bagi juga RM650 untuk beli barang dia masuk politeknik.

“Lepuk dengan sehelai kertas (surat) saja, bukan dengan kayu. Melawak dengan anak-anak, lagu tu lah cara kami kat kampung ni melawak,” katanya di Facebook berkenaan.

Ujar Muhammad Sanusi lagi, sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu, beliau meminta supaya bertanyakan sendiri kepada pelajar atau ahli keluarganya.

“Suruh depa (mereka) pi (pergi) tanya budak tu dengan mak dia lah, dia ada rasa macam depa (mereka) tu dok kata dak?

“Ukur orang Kedah bergurau pakai pembaris KL memang tak jumpa yang lurus lah,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz dalam satu ciapan di Twitter berkata, tindakan Muhammad Sanusi itu sangat tidak beradab.

Malah katanya, Muhammad Sanusi perlu menjaga adab apabila ingin bergurau dengan rakyat dan tidak menormalisasikan semua perkara sebagai jenaka.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 18 saat yang menunjukkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu bergurau kasar dengan memukul kepala seorang wanita menggunakan kertas mendapat perhatian pengguna media sosial.

Kejadian tersebut turut disambut gelak tawa orang sekeliling yang menganggap ia sebagai jenaka biasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI