fbpx

Kerajaan tetapkan DDI sebagai KPI jana jumlah pelaburan negara – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan menetapkan pelaburan langsung domestik (DDI) sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menjana jumlah pelaburan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi merancakkan landskap pelaburan negara selaras keputusan dibuat semasa Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara Kedua di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ni.

Katanya, kerajaan, khususnya melalui MITI komited untuk sentiasa mengimbangi kedua-dua pelaburan langsung asing (FDI) dan DDI bagi merangsang pembangunan yang lestari dan seimbang di seluruh negara.

“Kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting bukan sahaja bagi menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mampan, tetapi juga bagi memperkasakan ekosistem ekonomi domestik dalam menghadapi pelbagai cabaran global, termasuk ancaman perubahan iklim.

“Serta pelbagai cabaran pasca-pandemik dan geopolitk yang menyebabkan rantaian bekalan terganggu, harga bahan mentah meningkat dan kadar inflasi global yang tinggi.

“Pelaburan DDI yang strategik juga berpotensi untuk menarik lebih FDI kerana pelabur asing sentiasa menganggap DDI sebagai penanda aras bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap dasar-dasar kerajaan bagi memantapkan lanskap pelaburan dan perniagaan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan peningkatan DDI, namun kerajaan berpendapat bahawa usaha meningkatkan DDI perlu lebih menyeluruh.

“Sehubungan itu, mesyuarat MPN hari ini juga menekankan salah satu mesej Ekonomi Madani yang diumumkan pada 27 Julai lalu iaitu mengenai betapa pentingnya kerjasama dan pembabitan strategik oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk memperkasakan DDI.

“Secara keseluruhannya, GLIC hari ini mengurus aset pelaburan bernilai lebih RM1.7 trilion, dan memainkan peranan yang penting bukan sahaja bagi memacu pembangunan infrastruktur kritikal, dan membolehkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi baharu, tetapi juga bagi membantu menarik pelabur asing ke Malaysia,” ujarnya.

Tambah Anwar, MPN mengakui bahawa DDI dan FDI mempunyai kebergantungan antara satu sama lain dan saling melengkapi.

Jelasnya, FDI penting bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi manakala DDI penting bagi memperkukuhkan ekonomi negara.

“Walaupun beberapa kajian telah mengesahkan faedah FDI kepada negara, pemerkasaan pelaburan domestik berkualiti tinggi adalah sama penting dan mesti terus dipermudah dalam memacu ekonomi negara sekaligus mengembangkan struktur rantaian industri, terutamanya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

Anwar berkata, bagi tahun 2022, sejumlah RM267.7 bilion pelaburan daripada 4,517 buah projek yang diluluskan daripada pelbagai sektor ekonomi (sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama) di Malaysia yang akan menjana 140,440 peluang pekerjaan.

“DDI menyumbang sebanyak RM104.4 bilion (38.9 peratus) kepada jumlah ini. Manakala bagi suku pertama 2023, nisbah FDI:DDI adalah 52.5 peratus bagi FDI dan 47.5 peratus bagi DDI, dari komitmen pelaburan berjumlah RM71.4 bilion (peningkatan 59.7 peratus tahun-ke-tahun.).

“Peningkatan nisbah DDI mencerminkan peningkatan keyakinan syarikat dan perniagaan tempatan terhadap dasar kerajaan semasa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI