fbpx

Mahkamah: Ahmad Zahid labur RM10 juta, bukannya pinjaman – Datuk K

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khalid (kanan) ketika keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini. -Foto oleh AMIN AZMAN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memberitahu bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui Yayasan Akalbudi memberikan dana pelaburan RM10 juta kepada syarikat Armada Holdings Sdn. Bhd dan bukan pinjaman.

Dana pelaburan itu adalah untuk membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan tanpa yayasan itu mengalami apa-apa kerugian.

Khalid, 64, berkata dana itu kemudian telah pun dikembalikan semula kepada Yayasan Akalbudi beserta faedah yang sepatutnya iaitu sebanyak RM69,722.65 dua bulan selepas itu.

“Secara tidak langsung yayasan berkenaan tidak mengalami apa-apa kerugian, sebaliknya memperolehi keuntungan yang sama atau yang sepatutnya,” kata Khalid yang juga saksi kelapan pembelaan ketika membacakan pernyataan saksinya.

Khalid berkata apabila beliau mengetahui wang itu daripada sumber Yayasan Akalbudi (RM10 juta) dan daripada akaun simpanan tetap, beliau (Khalid) memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings, Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr untuk membuat kiraan faedah berdasarkan ‘opportunity loss’ daripada wang tersebut apabila memulangkannya.

“Daripada pengalaman sebagai seorang banker, apabila sesuatu duit disimpan di dalam akaun simpanan tetap ia secara tidak langsung adalah untuk menjana keuntungan melalui pelaburan. Oleh itu, dalam fahaman saya, wang RM10 juta yang diberikan oleh Datuk Seri Zahid kepada Datuk Wasi Khan adalah masih berbentuk pelaburan tanpa apa-apa kerugian kepada pengeluaran wang tersebut. ”

Saya juga mengetahui Datuk Seri Zahid merupakan seorang bekas banker dan mempunyai pengetahuan mengenai perkara ini. Jumlah RM10 juta adalah bertujuan semata-mata untuk membolehkan syarikat Armada Holdings layak untuk membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu kepada TNB yang mana dipercayai akan memberikan pulangan yang baik kepada syarikat sekiranya berjaya dan bukan untuk tujuan-tujuan lain,” kata saksi itu lagi.

Khalid berkata atas dasar tanggungjawab, beliau memohon untuk menjadi salah seorang penandatangan syarikat Armada Holdings bagi memastikan pelaburan daripada Ahmad Zahid melalui Yayasan Akalbudi dipulangkan semula dengan selamat tanpa kerugian beserta dengan kiraan faedah.

Sementara itu, ketika membaca lanjut pernyataan saksi itu, Khalid berkata, beliau mengenali Ahmad Zahid
untuk tempoh yang agak lama iaitu hampir 30 tahun dan mula mengenali Ahmad Zahid sejak bertugas sebagai seorang pengurus bahagian pinjaman di bank Bumiputra yang kini dikenali sebagai Bank CIMB.

“Tempoh kenalan yang lama itu membuatkan saya rapat dengan Datuk Seri Zahid dan mengenali sifat dan karakter beliau. Antara sifat beliau yang saya ketahui adalah beliau seorang yang pemurah, dermawan dan suka membantu apabila seseorang memerlukan bantuan. Disebabkan agak rapat dengan beliau (Ahmad Zahid) saya juga pernah melakukan beberapa aktiviti sosial bersama dengan beliau. Antaranya kami berdua mempunyai minat yang sama dalam bidang permotoran,” katanya lagi.

Menceritakan mengenai pemberian dana RM10 juta kepada Armada Holdings, Khalid berkata sekitar 2015, Wasi Khan yang juga saksi pendakwaan ke-21 itu bertemu dengannya dan memaklumkan bahawa beliau (Wasi Khan) berhasrat untuk menubuhkan satu syarikat pembekalan arang batu di Indonesia.

Menurut Khalid, syarikat berkenaan (Armada) memerlukan modal berbayar RM10 juta untuk memenuhi syarat minima bagi didaftarkan sebagai syarikat pembekal atau kontraktor di bawah TNB.

“Datuk Wasi Khan tahu bahawa saya merupakan seorang kenalan rapat kepada Datuk Seri Zahid dan beliau (Wasi Khan) telah meminta bantuan saya untuk menguruskan satu perjumpaan dengan Datuk Seri Zahid. Saya bersetuju dengan permintaan Datuk Wasi Khan dan telah menguruskan satu perjumpaan di antara kami berdua bersama Datuk Seri Zahid di pejabat beliau di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

“Saya seterusnya memaklumkan kepada Datuk Seri Zahid berkenaan kredibiliti, latar belakang dan penglibatan Datuk Wasi Khan dalam bidang perniagaan. Datuk Seri Zahid percaya bahawa saya tidak akan membawa individu sembarangan untuk berjumpa dengan Datuk Seri Zahid melainkan saya yakin dengan kebolehpercayaan individu tersebut,” katanya yang mengenali Wasi Khan selama 20 tahun.

Katanya, pada akhir perbincangan, Ahmad Zahid bersetuju untuk terlibat dengan membantu menyediakan dana sebanyak RM10 juta dan Wasi Khan memaklumkan telah menerima cek daripada YAB.

“Hasil daripada penerimaan cek tersebut, Datuk Wasi Khan menubuhkan Armada Holdings Sdn Bhd dengan jumlah modal berbayar berjumlah RM10 juta,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, Khalid tidak bersetuju bahawa dana itu adalah satu pinjaman, sebaliknya pelaburan dan saksi berkenaan tidak terlintas menolak pelawaan Ahmad Zahid untuk membantu memberikan dana RM10 juta.

Disoal lanjut, adakah saksi itu tidak terfikir bagaimana Ahmad Zahid mendapatkan dana berkenaan (RM10 juta), Khalid menjawab Ahmad Zahid adalah seorang tokoh korporat, usahawan, bekas ahli perbankan selain mempunyai sumber kewangan yang pelbagai.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung lagi petang ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI