RANAU – Seorang remaja lelaki menikam mati adik kandungnya yang berusia sembilan tahun selepas dipercayai terdengar bisikan dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Kinapulidan di sini Khamis lalu.
Dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi itu, suspek berusia 19 tahun dan tidak bekerja mencederakan mangsa dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur yang diambil dari dapur tersebut.
Menurut sumber, sebelum kejadian berdarah itu berlaku, mangsa sedang berbaring sambil bermain telefon.
Kanak-kanak itu kemudian dihampiri suspek yang mendakwa terdengar bisikan berkaitan bunuh, tetapi tidak diendahkannya.
Suspek kemudian mengambil sebilah pisau lalu menikam perut adiknya sehingga menyebabkan usus kanak-kanak terkeluar.
“Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan sempat melarikan diri sejauh 50 meter ke rumah jirannya bagi mendapatkan pertolongan.
“Suspek dipercayai cuba mencederakan seorang lagi adiknya, tetapi mangsa berusia 18 tahun sempat mengelak sebelum lelaki itu keluar rumah,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Mangsa dihantar ke Hospital Ranau bagi mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia enam jam kemudian.
“Pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak itu cedera di perut dengan satu kesan tikaman selain calar pada dahi. Susulan kejadian itu, polis berjaya memberkas suspek pada hari yang sama di sekitar lokasi kejadian,” katanya.
Siasatan awal mendapati, suspek pernah dirujuk ke Hospital Ranau di sini pada awal bulan ini dipercayai kerana masalah mental.
“Suspek menerima rawatan di Hospital Ranau selama seminggu. Dua beradik itu tidak mempunyai sebarang masalah (salah faham) sebelum ini,” ujarnya.
Pemeriksaan turut mendapati suspek tidak pernah terbabit penyalahgunaan dadah dan ajaran sesat selain tiada rekod jenayah. Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
















