fbpx

Nahas Elmina: Jenazah Allahyarham Johari akan dikebumi di Raudhatul Sakinah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Johari Harun.

SHAH ALAM – Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves hari ini.

Menerusi hebahan rasmi di akaun rasmi Facebook (FB) rasmi Allayharham Johari, pengebumian Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang itu dijadualkan kira-kira pukul 12 tengah hari.

Jenazah dijangka dituntut waris dan ahli keluarga di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan disembahyangkan di Masjid Ar-Rahimiah bermula pukul 9 pagi.

Allahyarham kemudian akan disembahyangkan kali kedua di Masjid Saidina Hamzah, Jalan Batu Muda, Kuala Lumpur sebelum dikebumikan di Raudhatul Sakinah.

Hebahan perancangan perjalanan terakhir Allahyarham Johari.

Keluarga Allahyarham Johari menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas doa serta ingatan terhadap arwah.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan baki sembilan jenazah mangsa akan diserahkan kepada waris secara berperingkat bermula pukul 9 pagi.

Perkara itu diputuskan selepas padanan selesai dilakukan ke atas semua ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa.

Semalam, isteri Allahyarham, Datin Seri Maziah Samsudin turut hadir di HTAR dan menemui Hussein dipercayai bagi mendapatkan makluman terbaharu urusan jenazah.

Allahyarham Johari antara 10 mangsa nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Persiaran Elmina di sini, petang Khamis lalu.

Beliau disahkan pergi ke Langkawi, Kedah untuk bermesyuarat dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pemergian Johari disifatkan kehilangan besar kerana merupakan pemimpin pelapis kepada negeri itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI