fbpx

JPN diarah patuh tempoh masa lapor kes buli, gangguan seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Semua jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah dan institusi pendidikan diarahkan untuk mematuhi tahap kesegeraan penyampaian maklumat, laporan serta tindakan berkaitan buli dan gangguan seksual kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

Langkah itu antara tindakan proaktif dalam menangani kes berkenaan di semua institusi pendidikan di bawah KPM bagi menjamin ekosistem selamat untuk guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan.

Menurut KPM, tempoh hari yang ditetapkan bagi pelaporan kes itu ialah pada kadar 1:3:7 hari.

“KPM menyediakan tiga saluran yang boleh digunakan orang ramai termasuk pihak sekolah dan juga ibu bapa untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes tersebut yang berlaku.

“Saluran tersebut ialah talian khas Aduan Buli, di e-mel [email protected] dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

“Maklumat aduan buli dan gangguan seksual boleh diakses melalui Portal Aduan Buli KPM di https://www.moe.gov.my/aduanbuli ,” katanya, dalam kenyataan hari ini.

KPM memaklumkan, berdasarkan rekod penyelesaian aduan buli dan gangguan seksual di institusi pendidikan bawah KPM menunjukkan lebih 90 peratus kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 15 hari.

“Pada waktu ini, KPM juga sedang memuktamadkan garis panduan menangani buli dan gangguan seksual serta Peraturan Disiplin Murid baharu yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi menggantikan Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah 1959).

“Pada masa sama, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan penguatkuasaan peraturan sedia ada seperti yang terdapat dalam surat siaran kementerian, surat pekeliling ikhtisas dan garis panduan berkaitan,” jelasnya.

Katanya, antara mekanisme sedang dilaksanakan KPM ialah kempen kesedaran mengenai kesan buli dan gangguan seksual terhadap mangsa di media konvensional dan media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI