fbpx

Jangan ‘gila kuasa’ dalam media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BALING batu sorok tangan. Se­pertinya itu yang dilakukan oleh pembuli dalam semua platform media sosial pada hari ini.

Sudah melemparkan kata-kata menyakitkan hati, namun identiti si pelaku kekal tersorok di sebalik akaun yang digunakan mereka.

Hari ini, gejala buli siber bukan lagi perkara aneh dalam dunia digital.

Hampir setiap hari, kita d­engar banyak isu yang menjadi bahan perdebatan sehingga ada individu menjadi ‘korban’ sebagai mangsa buli.

Lihat sahaja baru-baru ini, seorang ahli politik wanita turut dibuli dalam bentuk gangguan seksual oleh seorang individu yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, penulis juga berasakan pengguna media sosial zaman sekarang seperti hilang sifat empati dan belas kasihan.

Sebagai contoh, ada netizen yang sanggup meninggalkan komen yang berbaur hinaan terhadap anak perempuan seorang pelakon baru-baru ini hanya ­disebabkan dia terkencing di atas sofa.

Tidak mengenal usia mahupun jantina, netizen hari ini terlalu bebas menaip tanpa sempadan, sekali gus mengetepikan sikap kemanusiaan dalam diri masing-masing.

Berdasarkan perkongsian ­Majlis Keselamatan Negara, kesan buli siber kepada mangsa dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuk emosi, fizikal dan mental.

Antara kesannya termasuklah depresi, kemurungan, perbuatan melukakan dan mencederakan diri sendiri sehingga akhirnya jika tidak dibendung akan me­ngakibatkan perbuatan membunuh diri.

Bagi Pengarah Bahagian Pembangunan Psikologi, Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Raja Kamariah Raja Mohd Khalid, buli siber yang berleluasa pada hari ini disebabkan kegilaan kuasa untuk memanipulasi pengguna media sosial lain.

Katanya, kuasa tersebut juga membuatkan empati dalam ramai pengguna media sosial semakin berleluasa.

“Media sosial membuatkan ramai penggunanya hilang rasa empati sehingga tidak memikirkan kesengsaraan individu yang mereka buli.

“Adakalanya, mereka yang membuli hanya ingin melempiaskan rasa marah dan benci mengenai sesuatu isu yang tidak mencapai tahap kemahuan mereka,” katanya.

Raja Kamariah berkata, gejala buli dalam media sosial juga di­sebabkan mereka memiliki kuasa memanipulasi sebarang fakta dengan mencari kesalahan orang lain.

“Pembuli tidak pernah rasa diri mereka bersalah. Mereka hanya nampak kesalahan orang lain sahaja.

“Mereka memandang media sosial mampu memberikan kuasa tersebut yang boleh digunakan untuk banyak perkara termasuk memanipulasi, me­ngawal pe­rasaan orang lain, selain menindas individu lain.

“Pertembungan pendapat dan sikap tidak mahu mengalah juga antara sebab buli siber semakin teruk pada ketika ini,” ujarnya lagi.

Bagi membendung gejala buli daripada terus meruncing dalam kalangan pengguna media sosial hari ini, Raja Kamariah berkata, kesedaran harus dipupuk menerusi kempen dan penguatkuasaan undang-undang.

“Kalau tidak dibendung, gejala buli siber ini akan menjadi barah yang tiada ubat.

“Individu tidak bertanggungjawab akan terus leka membuli dan tanpa sedar meninggalkan kesan mendalam terhadap ­mangsa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI