fbpx

Rawatan awal elak komplikasi serius Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri; Sheahnee, Mohazmi, Dida dan Aishah bergembar selepas forum Know. Plan. Go. di MAHSA Avenue, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Langkah mendapatkan rawatan awal dilihat kritikal bagi mengelakkan komplikasi serius akibat virus Covid-19 terutamanya dalam kalangan golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik atau mereka yang mempunyai komorbiditi, iaitu orang yang memiliki dua atau lebih penyakit.

Ketua Setiausaha Persatuan Diabetes Malaysia, Dr. Mohazmi berkata, rawatan awal membantu mengurangkan beban virus dalam tubuh dan mempercepat pemulihan.

Tambahnya, bagi kumpulan berisiko tinggi seperti pesakit kanser, rawatan segera dapat mencegah perkembangan penyakit ke tahap yang lebih kritikal sehingga mungkin memerlukan rawatan intensif di hospital.

“Sebab itu penting bagi anggota masyarakat untuk mengetahui sama ada mereka tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi atau tidak, dan sekiranya seseorang dikesan menghidap Covid-19, dia tidak perlu menunggu sehingga keadaan teruk untuk pergi berjumpa doktor.

“Salah satu indikasi untuk mendapatkan rawatan antiviral ialah pesakit perlu berjumpa dengan doktor dalam tempoh lima hari selepas mendapati adanya simptom Covid-19 kerana keberkesanan rawatan ini akan berkurangan sekiranya tidak diberikan pada peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum Know. Plan. Go. yang diadakan di The Grounds, MAHSA Avenue di sini hari ini sempena pelancaran kempen MyPELINDUNG, iaitu kempen pendidikan awam bertujuan membentuk negara yang lebih bermaklumat dan sihat.

Kempen tersebut dianjurkan oleh Persatuan Kawalan Jangkitan dan Penyakit Berjangkit Malaysia (MyICID), Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS), dengan kerjasama Pfizer Malaysia.

Kira-kira 50 orang peserta menghadiri forum berkenaan.

Forum Know. Plan. Go. membincangkan peri pentingnya langkah mendapatkan rawatan segera selepas didiagnosis positif Covid-19.

Turut menjadi anggota panel forum berkenaan ialah selebriti, Aishah Sinclair dan ibunya yang merupakan seorang bekas jururawat, Dida Sinclair serta Sheahnee Iman Lee selaku moderator.

Ketika Malaysia telah mencapai kemajuan ketara dalam langkah mengawal Covid-19, virus tersebut kekal sebagai satu kebimbangan kesihatan dan akan terus merebak dalam komuniti dan mampu mengakibatkan kemasukan ke hospital dan paling malang, menyebabkan kematian dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Menyedari kepentingan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pelan tindakan sekiranya dijangkiti Covid-19 serta memupuk sikap bersegera dalam mendapatkan rawatan, Pfizer Malaysia mewujudkan laman web knowplango.my yang menyediakan maklumat umum berhubung virus berkenaan.

Turut disediakan di laman web tersebut ialah alat penilaian risiko untuk mengetahui sama ada seseorang berisiko tinggi mengalami gejala Covid-19 yang serius.

Sementara itu, Dr. Mohazmi menegaskan, masyarakat disarankan supaya membeli dan menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual di pasaran untuk tujuan diagnosis.

Jelasnya, ia penting terutamanya bagi golongan rentan termasuk ahli keluarga dalam usaha mengelakkan jangkitan tidak disedari sehingga terlewat untuk mendapatkan rawatan.

“Selain itu, golongan berisiko tinggi juga dinasihatkan mengambil langkah pencegahan termasuk memakai pelitup muka di tempat tumpuan awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI