fbpx

Nahas Elmina: Johari Harun berada di pesawat atas urusan kerja Pahang – Speaker DUN Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sharkar ketika ditemui pemberita di HTAR. Foto oleh SADDAM YUSOF/KOSMO! 

KLANG – Keberadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun dalam pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) adalah tujuan rasmi kerajaan negeri.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar lShamsudin berkata, Johari yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang pergi ke Langkawi untuk mesyuarat dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, ini merupakan satu kehilangan besar memandangkan Allahyarham Johari adalah antara pemimpin pelapis kepada negeri Pahang.

“Beliau (Johari) berada di pesawat itu untuk tugasan rasmi untuk mesyuarat dengan Menteri Besar Pahang di Langkawi, Kedah. Masa mula mengetahuinya amat terkejut sebab kita ada banyak Johari. Kita ada Johari Harun, Johari Hussien (Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman). Tidak tahu mana satu.

“Namun, apabila dapat tahu kad pengenalannya bermula 1970 bermakna berusia 53 tahun dan kita dapat jangka Johari Harun yang meninggal dunia,” katanya ketika ditemui ketika hadir di unit forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) malam ini.

Mohd. Sharkar memberitahu, Allahyarham Johari adalah seorang rajin dan menjadi Exco negeri meskipun kali pertama bertanding sebagai wakil rakyat.

Tambah beliau, kali terakhir dia bertemu dengan Johari adalah minggu lepas dalam sebuah program dan Allahyarham selalu bertanya pandangan dan nasihat mengenai politik daripada beliau.

“Sepatutnya jumpa beliau semalam dan ini merupakan rutin biasa saya akan berada di pejabat pada hari Rabu untuk menyalurkan informasi terhadap Exco tertentu. Selalu dia (Johari) respon dan datang namun semalam dia senyap (tanpa khabar berita).

“Semua ini takdir daripada Allah. Dia lebih mengetahui dan kita amat sedih kehilangan tokoh muda yang mempunyai potensi amat tinggi,” katanya.

Mohd. Sharkar menegaskan segala urusan berkaitan Allayharham Johari termasuk penghantaran dan pengebumian akan ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.

Ketika ditanya mengenai kekosongan kerusi DUN Pelangai, beliau berkata, pihaknya belum menerima surat rasmi mengenainya sebelum dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI