fbpx

Mindef sedia kerjasama agensi pertahanan bagi perkukuh BSEP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adly Zahari (tengah) ketika merasmikan Siber Siaga 2023 dan Cyber DSA 2023 di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan bekerjasama dengan beberapa agensi utama sektor pertahanan bagi memastikan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) bergerak seiring dengan negara serantau serta global.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, keselamatan siber yang ada pada masa kini perlu dikukuhkan selain memastikan inovasi siber kekal digerakkan.

Kata beliau, pihaknya juga terdedah kepada pelbagai ancaman siber dalam pergerakan menjadi peneraju serantau berkaitan Artificial Intelligence, Internet Of Thing (IOT), dan rantaian blok (blockchain).

“Membina langkah keselamatan siber yang mantap dan memupuk budaya kesedaran adalah sangat kritikal pada masa kini. Tanpa kesemua ini, kejadian seperti pelanggaran data (data breach) akan menghakis integriti dan mekanisme pertahanan.

“Ini boleh mewujudkan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur dan juga rakyat. Saya tidak menafikan bahawa medan pertempuran hari ini melangkaui darat, laut dan udara bagi dunia siber,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Siber Siaga 2023 dan Cyber DSA 2023 di Kuala Lumpur Convention Centre, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, keperluan menubuhkan organisasi untuk mengendalikan domain siber telah termaktub di dalam Kertas Putih Pertahanan bagi memastikan pertahanan siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih kukuh.

“Kementerian Pertahanan akan bekerjasama dengan agensi utama pertahanan bagi memastikan BSEP bergerak seiring dengan organisasi siber pertahanan di rantau ini mahupun global,” katanya.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, melindungi ekosistem siber sekuriti dalam negara bukan hanya tugas tentera dan agensi berkaitan sahaja.

“Ini merupakan satu tanggungjawab bersama antara masyarakat bagi meningkatkan pengetahuan dan waspada berkenaan dunia siber. Peranan ini penting bagi memastikan dunia digital akan datang terjamin.

“Ciptaan teknologi pada masa kini bergerak dengan sangat pantas, kita perlu mengikut rentak mereka namun sekiranya kita terlambat, peluang untuk sistem kita diserang akan lebih tinggi,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI