LIPIS – Sungai Rengai di daerah ini ternyata menyimpan banyak khazanah berharga ekoran penemuan sejumlah barangan bernilai tinggi zaman pemerintahan British era Ratu Victoria baru-baru ini.
Antara penemuan itu ialah empat bentuk subang emas, dua utas gelang emas, sebentuk loket, empat gigi emas palsu, wang syiling lama dan keris.
Pemeriksaan mendapati loket emas bertarikh 1934 itu memaparkan wajah Ratu Victoria dan gambar burung kuang daripada spesies merak.
Seorang pemancing yang mahu dikenali sebagai Rahman, 60, mendakwa, semua barangan itu dijumpainya secara tidak sengaja ketika mahu melepaskan mata kail yang tersangkut pada akar pokok di sungai tersebut baru-baru ini.
“Ketika mahu mencari punca kail tersangkut di kawasan tanah berlumpur, saya terpegang beberapa objek sebelum mendapati ia adalah barang kemas.
“Saya mengambil barangan itu dan menjual sebahagiannya kepada pembeli di Lipis. Yang tinggal sekarang hanya sebentuk loket emas yang agak istimewa sebagai koleksi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Rahman tidak menolak akan menjual artifak tersebut dalam masa terdekat.
Menurutnya, dia percaya barang kemas itu terbenam dalam lumpur sejak puluhan tahun lalu.
Jelasnya, lokasi penemuan barangan lama itu kerap menjadi tumpuan penduduk Lipis untuk memancing kerana ia merupakan lubuk ikan sungai.
Tambah Rahman, ini bukan kali pertama dia memancing di sungai berkenaan, malah kerap melakukan aktiviti itu sebelum ini, namun tidak pernah menemui khazanah tersebut.
“Kebetulan rezeki saya dapat menjumpai barangan tinggalan sejarah tersebut baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Tokoh Orang Hidup Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Aripin Said memberitahu, berdasarkan penelitiannya, loket emas tersebut dikeluarkan khas sebagai tanda penghargaan kepada Ratu Victoria.
Ini selepas pentadbiran baginda diambil alih Ratu Elizabeth yang menguasai tanah jajahan seperti Tanah Melayu pada era tersebut.
Menurut Aripin, tulisan Prize Gold Medal yang terdapat pada loket itu membuktikan ia medal Sukan Empayar British 1934 kini dikenali Sukan Komanwel yang diadakan di England pada 4 hingga 11 Ogos 1934.
“Pemilik atau pewarisnya dipercayai rakyat British yang menggunakan medal tersebut sebagai loket pakaian kerana dilengkapi pin dan mungkin medal ini satu-satunya yang masih wujud di dunia,” katanya.
Jelas beliau, barang kemas tersebut kemungkinan terjatuh semasa dalam perjalanan ke Kampung Pagar atau tenggelam akibat bah besar yang kerap melanda daerah ini.
“Sungai Rengai merupakan anak Sungai Lipis yang menjadi laluan utama pedagang dan penduduk ke Kampung Pagar.
“Suatu ketika dahulu, Kampung Pagar merupakan sebuah pelabuhan darat yang menjadi antara pusat perdagangan hasil hutan termasuk emas yang mula di lombong sejak abad ke-17.
“Sebuah bangkai kapal dagang yang timbul di Kampung Pagar pada 2016 membuktikan anak Sungai Lipis yang bersambung ke Sungai Jelai dan seterusnya Sungai Pahang menjadi laluan penting perdagangan zaman tersebut,” ujarnya.
Pada 16 Januari 2021, Kosmo! melaporkan penduduk Kampung Pagar, Penjom dikejutkan dengan penemuan rangka kapal kayu bersalut tembaga yang terdampar di tepi Sungai Lipis.
Rangka kapal yang didakwa dibina sekitar tahun 1800-an itu ditemukan oleh penduduk kampung seminggu selepas banjir surut dan dalam keadaan dilitupi sampah tebal.
Bagaimanapun, sebahagian komponen kapal yang dianggap pelbagai pihak sebagai artifak berharga itu telah ‘dikebas’, kecuali bahagian lantai.
Lokasi penemuan kapal berkenaan adalah di kawasan tebing sungai sebuah kampung lama yang telah ditinggalkan kerana sering berlakunya banjir.
Terdapat satu tembaga yang tertulis Vivian & Son dan kapal berkenaan dipaku dengan paku tembaga. Keadaan kayu masih kukuh dan tidak reput walaupun telah diskru dengan tembaga dan berada di dalam air dalam tempoh ratusan tahun.














