fbpx
GAMBAR HIASAN

Ganjaran lumayan faktor pemain bola bertukar kelab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JENDELA perpindahan musim panas atau musim sejuk sentiasa menjanjikan debaran dan menarik untuk diikuti, namun edisi kali ini lebih menarik terutama melibatkan pemain yang memiliki nama besar serta penglibatan kelab-kelab dari Arab Saudi.

Setakat ini, kelab-kelab dari Asia Barat itu sudah membelanjakan sehingga £350 juta (RM2.03 bilion) bagi urusan pembelian beberapa pemain berprofil tinggi dan itu belum dikira dengan jumlah kontrak lumayan diterima oleh para pemain berkenaan.

Selain ‘serangan’ Arab Saudi, jendela perpindahan kali ini juga diwarnai oleh spekulasi perpindahan dua pemain berkelas dunia melibatkan bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane serta penyerang sensasi Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe.

Ketika artikel ini disiarkan, jendela perpindahan masih berbaki lebih kurang dua minggu lagi sebelum ia ditutup secara rasmi pada 1 September dan itu bermakna akan ada lebih banyak spekulasi yang bakal muncul terutama melibatkan masa depan pemain tertentu.

Kane sah meninggalkan Spurs untuk menyertai Bayern Munich, sekali gus membuka lembaran baharu kariernya dan peluang untuk memenangi trofi selepas dijulang sebagai pemain hebat, namun belum berjaya meraih sebarang gelaran sepanjang karier.

Sementara itu, Mbappe pula seakan sudah ‘berpatah arang, berkerat rotan’ dengan kelabnya apabila enggan menandatangani kontrak baharu, sekali gus menyebabkan PSG perlu mencari pembeli untuk mengelakkannya pergi secara percuma musim depan.

Bagaimanapun, dalam sejarah perpindahan sebelum ini, terdapat beberapa pemain yang gagal mereaslisasikan perpindahan mereka kerana beberapa faktor, malah alasannya adakalanya seperti tidak masuk akal.

Misalnya, penyerang Barcelona, Robert Lewandowski yang hampir menandatangani kontrak bersama Blackburn Rovers dari pasukan lamanya, Lech Poznan pada 2010, namun letusan gunung berapi di Iceland menyebabkan jadual penerbangan dibatalkan dan perjanjian tersebut tidak dapat dimeterai.

Bekas pemain tengah AC Milan, Kaka juga mendedahkan bahawa dia hampir menyertai Manchester City pada Januari 2009 sebaik Sheikh Mansour mengambil alih pemilikan kelab itu yang hampir memecahkan rekod perpindahan dengan nilai £100 juta (RM580.72 juta).

Ketika segala terma dan syarat peribadi sudah dipersetujui, Kaka mengakui telah membuat keputusan berdasarkan nalurinya dengan memilih Real Madrid.

Kisah legenda England, Paul Gascoigne juga tidak kurang menarik apabila dia dalam perjalanan ke Old Trafford untuk menandatangani perjanjian bersama Manchester United sebelum dihubungi oleh bekas Pengerusi Spurs, Irving Scholar yang mahukan khidmatnya dan sedia melunaskan semua permintaan.

Gascoigne meminta sebuah rumah dan sebuah kereta BMW berwarna putih untuk bapanya dan ia dilunaskan Spurs menyebabkan dia membuat ‘pusingan U’ dengan menolak tawaran United dan memilih kelab London berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN