DISAHKAN hamil anak kedua yang kini memasuki usia lima bulan semestinya menjadi anugerah rezeki yang tidak ternilai mahalnya buat penyanyi juga pelakon kecil molek, Ayda Jebat.
Meskipun anak sulungnya, Ana Nayla baru memasuki usia dua tahun, rezeki untuk menimang cahaya mata kedua disambut Ayda dan suami, Nabil Mahir dengan penuh kesyukuran serta kegembiraan.
Berbeza ketika kehamilan pertama pada 2021, kali ini Ayda berasa lebih bersemangat untuk bekerja walaupun masih mengalami gejala biasa ibu hamil seperti mual dan alahan.
“Saya mengandungkan Nayla sewaktu musim pandemik Covid-19. Situasinya memang sangat berbeza. Ketika itu, saya memang langsung rasa tidak mahu bekerja. Nak tengok telefon pun malas.
“Rasa nak baring sahaja. Tapi untuk kehamilan kali kedua ini, saya rasa bersemangat untuk bekerja dan menjalani aktiviti harian seperti biasa,” ujarnya.
Zuriat kedua
Ayda atau nama lengkapnya Nur Shuhada Jebat, 31, juga bersyukur dikurniakan seorang suami yang sungguh bertanggungjawab, terutama dalam urusan menguruskan anak.
Jujur kata Ayda, rasa penat untuk menguruskan anak kecil, ditambah pula dengan perutnya yang semakin membesar banyak dipermudahkan oleh Nabil.
“Rasa penat itu telah diambil alih oleh suami (Nabil). Sejujurnya dia lagi pandai jaga anak berbanding saya. Kalau di rumah, 70 peratus kerja-kerja menguruskan anak, Nabil yang buat.
“Baki 30 peratus sahaja saya yang uruskan. Nabil yang mandikan anak, tukar lampin dan bangun malam buatkan susu.

“Untuk kehamilan kali ini, Nabil yang mengidam teruk berbanding saya. Sebab itu dia jadi tembam sekarang,” usik Ayda.
Ditanya tentang perkembangan Ana Nayla, Ayda yang sentiasa ditemani suaminya di sisi berkata, Nayla tiba-tiba menunjukkan perubahan sikap apabila menjadi terlalu manja, terutama selepas dia disahkan hamil anak kedua.
“Kami pernah bawa Nayla ketika buat imbasan kandungan dan dia tengok imej bayi yang berada dalam perut saya.
“Sejak daripada situ, perangai dia terus berubah menjadi terlalu manja.
“Begitu juga dengan emosinya,” tutur Ayda yang tidak mengalami penambahan berat badan secara drastik ketika kehamilan kali ini.
Netizen
Bercakap soal jantina anak keduanya nanti, Ayda dan juga Nabil sengaja tidak mahu mengambil tahu jantina bayinya kelak kerana mahukan kejutan.
Bagaimanapun, pelantun lagu Temberang itu berkata, Nabil sebenarnya berharap dikurniakan zuriat lelaki, memandangkan sudah memiliki anak perempuan.
“Tentang jantina anak, sejujurnya kami sendiri tidak tahu dan enggan mahu ambil tahu walaupun telah melakukan imbasan. Kami mahukan kejutan.
“Tapi kalau tanya Nabil, dia mahukan anak lelaki. Namun, jantina apa sekali pun nanti, kami berdua akan terima dengan senang hati,” ujar Ayda.
Ketika disoal tentang kritikan netizen gara-gara terlepas cakap apabila menggunakan perkataan ‘berpeluh-peluh’ untuk mendapatkan zuriat kedua ketika mengumumkan kehamilan baru-baru ini, Ayda berpendapat bahawa masyarakat hari ini terlalu sensitif terhadap apa sahaja isu melibatkan selebriti.

Kata penyanyi asal Melaka itu, jika dahulu masyarakat masih lagi boleh bertoleransi, namun hari ini situasi sudah berubah apabila masing-masing menjadi lebih sensitif walaupun melibatkan isu remeh.
“Netizen kita hari ini memang sangat sensitif. Saya pun tidak tahu kenapa. Kalau dahulu, masih lagi okey kalau kita buat silap sikit.
“Tapi sekarang, kalau tersalah cakap pun, memang kena hentam dengan netizen. Macam buat salah besar,” ujarnya.
Ayda bagaimanapun tidak terlalu ambil hati dengan kritikan yang diterima memandangkan sudah terbiasa dengan tohmahan dan cakap-cakap buruk netizen selepas bertahun-tahun bergelar anak seni.
Emosi
Tidak melatah atau terlalu beremosi walaupun hamil, pemenang tempat kedua program Famili Duo itu masih mampu mengawal emosi daripada ‘meledak’ dek komen-komen pedas netizen.
“Walaupun sedang hamil, emosi saya masih terkawal. Sebab saya sudah biasa.

“Nabil pun tidak bimbang sangat tentang saya sebab tahu saya boleh kawal perasaan. Saya sendiri pun tidak kisah netizen mahu cakap apa.
“Saya masih boleh kawal emosi sebab sejak dahulu lagi, macam-macam orang bercakap tentang saya. Jadi bila melibatkan hal-hal kecil, saya tidak kisah sangat,” katanya yang memang gemar membaca komen-komen netizen.
Menyentuh tentang perkembangan terkini, Ayda sedang sibuk menjalani penggambaran untuk menghabiskan baki drama bersiri Bukan Cinta Sempurna yang sedang ditayangkan dalam televisyen.
“Saya masih turun ke set penggambaran untuk menghabiskan baki drama Bukan Cinta Sempurna. Kalau ikut perancangan saya akan mula bercuti pada bulan hadapan. Tapi belum pasti lagi.
“Nyanyian pula, saya masih memenuhi undangan selagi berdaya. Kalau tak berdaya selepas ini, mungkin saya akan ‘miming’ sahaja,” katanya ketawa.














