fbpx

Kejar 500 undi DAP, UMNO hilang 5,000 undi Melayu – Isham Jalil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Isham.

PETALING JAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menegaskan parti itu perlu menyelesaikan isu utama yang sering dibangkitkan di akar umbi agar parti itu tidak terus kalah dan pupus menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Beliau berkata, terdapat tiga perkara yang sering disebut iaitu berkenaan parti DAP, Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya telah jelajah ke hampir seluruh enam negeri untuk berkempen, dan saya telah berdialog dengan akar umbi. Di mana-mana saya pergi akar umbi kita rata-rata bertanya tentang tiga perkara itu.

“Berkenaan DAP, saya telah kata sebelum ini bahawa perkara ini adalah amat sensitif kepada akar umbi kita. Jika kita paksa akar umbi kita undi DAP, mereka akan bantah dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi, atau lebih teruk mereka protes dan undi Perikatan Nasional (PN). Ini yang telah berlaku di enam negeri ini,” katanya, dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, Isham berkata isu itu perlu diselesaikan sama ada UMNO terus bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan dan pilihan raya, ataupun bekerjasama hanya dalam kerajaan dan bukan pilihan raya.

“Dengan pilihan kedua itu, kita mungkin boleh membina semula parti kita dengan mengekalkan ideologi dan perjuangan kita, walaupun mula-mula mungkin kita kalah atau tidak menang besar, namun demikian dengan ini kita dapat kekalkan akar umbi kita dan sedikit demi sedikit memenangi semula hati rakyat.

“Jika tidak, akar umbi kita akan lari ke parti lain dan nasib kita akan jadi seperti pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

“Untuk mengejar 500 undi DAP, kita hilang 5,000 undi Melayu dan hilang akar umbi. Jika kita hilang akar umbi, parti kita akan mati. Ini tidak bijak malahan bahaya,” tegasnya.

Isham berkata, pihaknya berharap agar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dapat berjumpa akar umbi sendiri dan berdialog bersama mereka bagi menjernihkan yang keruh dan memperbaiki keadaan.

“Berkenaan Datuk Seri Najib, saya telah beberapa kali berkata bahawa jika beliau ada bersama kita berkempen, kita mempunyai peluang yang lebih cerah.

“Namun, beliau masih di dalam penjara sudah setahun kini dan walaupun kita dalam kerajaan, belum lagi nampak keadilan untuknya. Beliau kerap kata kepada saya, dia bukan mahu kesnya digugurkan, dia hanya mahu mendapat perbicaraan yang adil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI