fbpx

Mencari orang muda pembina negara baharu Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap pada Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr. Ismail di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini. -GAMBAR FAUZI BAHARUDIN

Oleh LIEW CHIN TONG

Bagi mengenang pemergian mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang ke -50 tahun, satu upacara telah diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu.

Dalam banyak acara yang saya hadiri, upacara ini adalah satu daripada acara yang penuh bermakna. Malaysia sedang mencari pembina negara, buat kesekian kalinya kisah hidup dan legasi Tun Dr. Ismail menjadi rujukan utama bagi mengisi potensi para pembina negara ini.

Dalam ucapannya yang lahir daripada suara hati tanpa merujuk kepada teks ucapan yang disediakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa sifat integriti, bersih dan ketokohan yang dimiliki Tun Dr. Ismail telah membayangi dan melindungi negara.

Menyorot kembali zaman sewaktu menjadi pemimpin pelajar pada awal dekad 1970-an, Anwar mengatakan beliau tidak takut untuk bersuara di hadapan Perdana Menteri pada masa itu, Tun Abdul Razak Hussein atau mana-mana pemimpin lain.

Walau bagaimanapun jika Tun Dr. Ismail, beliau terpaksa menyusun kata mempamerkan rasa hormat. Begitulah ketokohan Tun Dr. Ismail. Allahyarham Tun Dr. Ismail meletakkan negara di atas segala-galanya.

Beliau sanggup kembali bertugas selepas tragedi 13 Mei 1969 walaupun telah meletakkan jawatan sebagai menteri pada 1967 kerana keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan. Iltizam beliau untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara pelbagai kaum yang berkongsi matlamat serta tujuan terbukti dengan usahanya menggubal serta mempromosikan Rukun Negara.

ANWAR bersama pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan ketika hadir pada Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr. Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara. – GAMBAR FAUZI BAHARUDIN

Syukurlah Kerajaan Perpaduan hari ini yang dipimpin Anwar memberi keutamaan kepada usaha mengenang jasa Tun Dr. Ismail. Walaupun Malaysia mempunyai ramai tokoh politik, tidak banyak yang disanjung kerana integriti, wawasan pelbagai kaum, keberkesanan dalam pentadbiran dan minda strategik dalam geopolitik serta hal-ehwal dunia.

Semua sifat, ilmu dan kemahiran ini ada pada Tun Dr. Ismail. Malaya dan Malaysia lahir di tengah-tengah kancah Perang Dingin dan menangani geopolitik amat penting untuk survival negara. Di sinilah letaknya kehebatan Tun Dr. Ismail.

Allahyarham merupakan Duta Malaya ke Amerika Syarikat yang pertama dan wakil pertama negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kisah ini dinyatakan dengan lengkap dalam buku karya Datuk Dr. Ooi Kee Beng yang bertajuk Malaya’s First Year at the United Nations: As Reflected in Dr Ismail’s Reports Home to Tunku Abdul Rahman.

Saya meminati dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang legasi Tun Dr. Ismail melalui persahabatan saya dengan Kee Beng yang turut menulis buku The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Time yang diterjemahkan dengan tajuk Bukan Kerana Pangkat: Tun Dr Ismail dan Masanya.

GAMBAR fail Tun Dr. Ismail (depan, kanan) berbincang sesuatu dengan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak di ibu negara pada Mei 1971.

Melalui Kee Beng, saya mengenali Taufik, anak sulung Tun Dr. Ismail yang pernah menjadi Ahli Parlimen. Pada 2005, tidak lama selepas saya pulang dari Australia setelah tamat pengajian, saya diperkenalkan kepada Bee Keng. Beliau berada di Kuala Lumpur pada masa itu untuk menemu bual beberapa kawan dan kenalan Tun Dr. Ismail.

Melalui perkenalan itu, saya ditawarkan menjadi Felo di Yusof Ishak Institute of Southeast Asian Studies, Singapura. Saya masih ingat membaca buku The Reluctant Politician pada penghujung Disember 2006 yang mana ia menjadi buah mulut pembaca di Malaysia dan Singapura pada minggu pertama Januari 2007.

Akhbar New Straits Times, pada masa itu di bawah pimpinan Datuk Kalimullah Hassan dan Straits Times Singapura, saban hari menyiarkan petikan daripada buku tersebut.

Buku itu juga dicetak beberapa kali pada awal 2007. Para pembaca tertarik dengan legasi Tun Dr. Ismail ketika negara berada dalam suasana yang panas pada masa itu. Harapan yang rakyat sandarkan kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah mula pudar, malah semakin mengecewakan.

Penyelidikan yang Kee Beng lakukan untuk menyiapkan buku tersebut memberi gambaran yang jelas tentang tokoh yang selama ini hanya diketahui namanya daripada singkatan TTDI atau Taman Tun Dr. Ismail, sebuah kawasan perumahan elit di ibu kota.

Buku itu juga mengingatkan mereka yang pernah mengenali tokoh tersebut bahawa dalam politik memang akan tetap ada orang yang baik, politik masih membuka ruang untuk mereka yang mahu menyumbang kepada negara dan membina negara bukan sesuatu yang sia-sia, malah ia merupakan satu usaha yang berbaloi di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI