fbpx
ACACIA mendakwa dia ketakutan kerana diganggu tanpa henti menerusi Twitter sejak 2015.

Acacia masih trauma, ketakutan kena stalk lapan tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penderitaan jurugambar wanita yang diganggu tanpa henti secara maya selama lapan tahun di dua buah negara berakhir selepas lelaki itu didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam semalam.

Kisah yang menimpa gadis bernama Acacia Mardiana mendapat perhatian ramai apabila dia berkongsi perkara itu di media sosial selepas usahanya selama ini tidak berhasil terma­suk me­larikan diri ke United Kingdom (UK) pada Disember 2022.

Menurut Acacia, dia mendapat sokongan penuh daripada orang ramai untuk berjuang demi bagi menegakkan keadilan terhadap dirinya.

Saya berasa lega kejadian yang menimpa diri saya dipandang serius dan tindakan dibuat berlandaskan peruntukan undang-udang sedia ada.

“Secara tidak langsung, perkara ini memberi harapan kepada mangsa-mangsa yang diganggu supaya mereka tidak berasa takut untuk tampil melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam

Meskipun mengetahui proses mahkamah tersebut mengambil masa yang agak panjang, Acacia memaklumkan, dia sudah bersedia mengenai perkara itu terutama dari segi mental.

Bagi Acacia, biarpun lelaki yang terbabit dalam kejadian itu sedang melalui proses undang-undang atas perbuatan tersebut, dia mengakui masih sukar untuk melupakan kejadian yang me­nimpanya sejak tahun 2015.

“Saya mengakui masih trauma dan ketakutan. Lapan tahun bukan satu tempoh yang singkat. Sepanjang tempoh tersebut, saya berdepan dengan gangguan dan ia masih menyelubungi diri ini.

“Cuma sekarang saya berasa lega kerana setelah lapan tahun berada di dua buah negara dan 16 juta yang melihat (ciapan di Twitter), lelaki yang mengganggu saya akhirnya dituduh di mahkamah,” katanya.

Acacia turut berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pemba­ngunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kerana sentiasa memaklumkan perkembangan kes tersebut kepadanya dari semasa ke semasa.

“Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) juga ambil maklum tentang isu ini selain peguam,” katanya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang lelaki yang mengganggu jurugambar wanita ditahan di Wad Jabatan Neurologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Siasatan awal mendapati lelaki dari Shah Alam itu menggunakan akaun Instagram dan Twitter untuk berhubung dengan mangsa.

“Dia sering meninggalkan komen yang berbentuk ayat-ayat cinta dan lucah sehingga menyebabkan mangsa berasa tidak selesa,” katanya.

Acacia pernah menarik perhatian pengguna media sosial apabila mendedahkan dia hidup dalam ketakutan selama lapan tahun gara-gara diganggu seorang lelaki dalam media sosial.

Sementara itu, di Seremban, Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu, kejayaan menuduh individu berhubung kesalahan menghendap tersebut diharapkan dapat membuka mata kepada pelaku agar tidak sewenang-wenangnya berbuat demikian.

“Kebanyakan mangsa adalah wanita. Jadi kita mahu mengga­lakkan mangsa termasuk lelaki untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Kita berasa lega kerana ak­hirnya undang-undang anti menghendap dapat dikuatkuasakan. Walaupun sudah diluluskan (sebelum ini), tetapi belum sempurna sebab itu tindakan belum diambil.

“Kes hari ini (semalam) dilihat sebagai eye opener kepada mereka yang mempunyai amalan mengintip supaya berhenti ke­rana sudah ada undang-undang,” katanya pada Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Anti Gangguan Seksual di Seremban semalam.

Pada Mac lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah bagi menjadikan tindakan menghendap sebagai satu kesalahan.

Pindaan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 bertujuan memasukkan Seksyen baharu 507A ke dalam Akta 574 bagi kesalahan menghendap yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN