fbpx

[VIDEO] Lelaki pertama didakwa ‘stalk’ jurugambar diperintah ke Hospital Bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Safiq (tengah) ketika dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Seorang lelaki yang tular dalam aplikasi Twitter kerana menganggu seorang wanita diperintah oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi permerhatian psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.

Majistret Sasha Diana Sabtu memerintahkan demikian terhadap Mohamad Safiq Rosli, 37, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan membuat permohonan itu di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dihantar untuk pemeriksaan psikiatri bagi rawatan pemerhatian.

Terdahulu, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan bekas pereka sambilan itu didakwa menggunakan akaun Twitter “@sopert99” telah secara berulang mengganggu Acacia Mardiana Daud, 31, di akaun Twitter “@ShaFoShizzle”.

Gangguan itu kemudian telah dibaca di sebuah rumah di daerah ini, di mana tertuduh sepatutnya tahu bahawa gangguan tersebut boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa. Antara gangguan itu adalah membabitkan luahan perasaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 Julai 2023 hingga 21 Julai 2023.

Berikutan itu pertuduhan adalah suatu kesalahan menghendap di bawah seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 507A (3) akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum tiga tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu ketika prosiding berlangsung, selain memohon tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia, Zilfinaz turut memaklumkan pihak pendakwaan juga tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh mempunyai kes melanggar syarat jaminan polis di United Kingdom (UK).

“Dia (tertuduh) telah ditangkap negara itu pada 4 April lalu dan diberi jaminan polis, yang mana dia sepatutnya hadir ke mahkamah di sana pada 2 Jun lalu. Bagaimanapun, tertuduh telah melanggar jaminan yang diberi dan melarikan diri ke Malaysia, sekali gus menyebabkan dia disenarai hitam oleh polis UK,” katanya.

Mendengar perkara itu peguam, Fithril Hakim Ab. Jalil kemudian tidak membantah dengan cadangan pihak pendakwaan itu.

“Atas permintaan pendakwaan, kami serahkan kepada pakar untuk rawatan psikiatri,” katanya.

Dalam proisiding hari ini, peguam pemerhati Jason Wee yang mewakili mangsa turut hadir ke mahkamah.

Selepas mendengar hujah dan makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah menetapkan tarikh 7 September ini bagi sebutan semula kes selain laporan psikiatari tertuduh.

Semalam Kosmo! melaporkan seorang lelaki berusia 37 tahun yang didakwa menganggu jurugambar wanita selama lapan tahun akan menjadi individu pertama bakal dituduh dibawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 507A baharu, sesiapa yang berulang kali melakukan sebarang tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan atau mengetahui bahawa berkemungkinan menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada seseorang mengenai keselamatannya, boleh disabitkan melakukan kesalahan menghendap.

Sebelum ini, Kosmo! turut melaporkan, lelaki yang didakwa mengganggu jurugambar wanita seperti yang tular sebelum ini ditahan di wad di bawah Jabatan Neurologi Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan.

Hasil siasatan mendapati, lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang menetap di Shah Alam itu sering menggunakan akaun Instagram dan Twitter untuk berhubung dengan mangsa.

Dia turut memberikan komen-komen cinta dan menghantar pesanan berbentuk lucah sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada mangsa.

Mangsa yang juga dikenali sebagai Acacia Diana menarik perhatian netizen apabila mendedahkan nasib dirinya yang hidup dalam ketakutan selama lapan tahun gara-gara diganggu seorang lelaki di media sosial.

Pendedahan itu kemudian menarik perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang menggesa Acacia untuk menyerahkan bukti termasuk laporan polis dan tangkap layar ke e-mel rasmi kerajaan untuk tindakan lanjut.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI