fbpx

Halim saman Mahathir, Nor Mohamed tuntut pampasan saham Renong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Halim dan Mahathir

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Eksekutif Renong Berhad, Tan Sri Halim Saad menyaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dua pihak lagi bagi menuntut pampasan berhubung kerugian yang dialaminya selepas menjual pegangan saham dalam syarikat itu secara paksa, hampir 23 tahun lalu.

Selain Dr. Mahathir, Halim turut menamakan bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Writ saman itu difailkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini pada 2 Ogos lalu melalui Tetuan Malik Imtiaz Sarwar.

Menurut pernyataan tuntutannya, Halim selaku plaintif mendakwa, beliau diarah oleh Dr. Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus saham Renong daripada United Engineers Malaysia Bhd (UEM).

Sebaliknya dakwa Halim, beliau dikehendaki menyokong inisiatif kerajaan melalui Khazanah Nasional Bhd. untuk mengambil alih UEM secara tawaran am.

Menurut pernyataan itu, UEM merupakan syarikat berprestij dengan beberapa aset bernilai tinggi seperti Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), ELITE Expressway, Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Intria Bina Sdn Bhd, Ho Hup Construction Sdn Bhd, Pharmaniaga Berhad dan Kualiti Alam Sdn Bhd, yang kesemuanya secara bersama menjana aliran tunai menghampiri RM1 billion setahun.

Menurut ahli perniagaan terkemuka itu, tindakan bersama kedua-dua defendan menyebabkan beliau hilang kawalan terhadap Renong serta kawalan secara tidak langsung dalam UEM.

Halim turut menyatakan, hak beliau sebagai pemegang saham dilucutkan ekoran pengambilalihan UEM oleh Khazanah menyebabkan saham Renong miliknya mengalami penurunan nilai.

Pernyataan tuntutan itu selanjutnya menyatakan, pada masa material, Renong memegang 37.92 peratus saham UEM manakala plaintif merupakan pemegang saham individu tunggal terbesar dalam Renong.

“Kesudahannya, Khazanah telah memperoleh keseluruhan saham UEM melalui anak syarikatnya, Syarikat Danasaham Sdn Bhd, dan dengan itu memperoleh kawalan terhadap UEM yang ketika itu memiliki 32.6% saham Renong.

“Dengan cara ini, Kerajaan mengambilalih UEM dan secara tidak langsung memperoleh
kawalan dan hakmilik tidak langsung ke atas kumpulan Renong,” ujar beliau dalam pernyataan tersebut.

Sehubungan itu, Halim menyatakan, ekoran pengambilan hak kukuh dan pelucutan haknya sebagai pemegang saham yang mengawal Renong, beliau tidak dibayar apa-apa pampasan.

Plaintif menyatakan, beliau dijanjikan sejumlah RM1.3 bilion antaranya meliputi wang tunai sebanyak RM325 juta.

Plaintif meletak jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong pada 3 Oktober 2001 dan turut meletak jawatan daripada syarikat-syarikat lain dalam Kumpulan UEM-Renong berkuat kuasa hari yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI