fbpx

‘Borong’ minyak diesel lebih 80,000 liter sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rampasan lori Bonded yang diubah suai tangkinya sebelum digunakan untuk 'memborong' minyak diesel di stesen minyak sekitar Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kelicikan sindiket mencuri lebih 80,000 liter diesel subsidi bernilai hampir RM172,000 setiap hari terbongkar menerusi satu serbuan, 1 Ogos lalu.

Hasil risikan selama dua minggu mendapati sindiket ini menyasarkan enam stesen minyak sekitar ibu negara untuk membeli minyak diesel bersubsidi sebelum membuat penghantaran ke stor haram bagi tujuan eksport.

Op Tiris itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, pasukan serbuan bertindak menyerbu sebuah stesen minyak di Cheras dan stor haram di Sungai Besi.

“Stesen minyak tersebut merekodkan transaksi terbanyak dimana lima lori bonded yang diubah suai tangki akan datang secara bergilir sebelum membeli minyak melebihi 80,000 liter iaitu membabitkan jumlah pembayaran tunai hampir RM172,000.

“Kesemua lori ini menjalankan aktiviti mengutip minyak diesel bersubsidi di sekitar Kuala Lumpur seawal pukul 8 pagi sehingga 8 malam sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurul Syarina berkata, bekalan tersebut akan disimpan di stor haram sebelum dipindahkan ke lori tangki untuk dijual kepada pihak ketiga di sekitar Lembah Klang serta di selatan dan utara semenanjung bagi tujuan eksport ke luar negara.

Katanya, serbuan di stor itu bertindak merampas 35,000 liter diesel bersubsidi dianggarkan berjumlah RM75,250 selain sitaan sebuah lori tangki, lori bonded (empat), pam (tujuh), 16 buah empat unit IBC tank (intermediate Bulk Container), hos minyak (lapan) dan resit-resit pembelian.

“Lima individu disyaki pemandu lori dan pekerja stor telah ditahan untuk siasatan lanjut termasuk seorang lelaki tempatan yang juga pemandu lori ketika sedang membuat pengisian minyak diesel di stesen berkenaan.

“KPDN Kuala Lumpur telah bertindak menyita sebuah lori bonded selain 1,630 liter minyak diesel, empat IBC Tank, satu unit pam serta hos dan resit-resit pembelian minyak diesel bersubsidi.

Menurutnya , pemilik stesen minyak tersebut disiasat di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 serta Peraturan 13(2) PPKB 1974 kerana gagal menyelenggara buku stok.

Kata Nurul Syarina, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI