fbpx

Sanusi tidak mohon maaf kepada Vincent Tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sanusi dan Vincent Tan.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan bahawa beliau tidak meminta maaf kepada ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan yang menuntutnya berbuat demikian sehingga tamat waktu bekerja hari ini.

Menurut Muhammad Sanusi, kes itu masih berkembang dengan dokumen-dokumen mengenainya sedang didedahkan.

“Tak (memohon maaf). Kes masih berkembang dan dokumen-dokumen sedang didedahkan.

“Kita tengok sehari dua lagi, tiada ulasan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Program Mai Sat Menteri Besar Kedah di Gelanggang Sepak Raga Tuju, Taman Tunku Yaakob, di sini hari ini.

Vincent yang juga Pengasas serta Penasihat Berjaya Corporation Berhad dan Berjaya Land Berhad (Berjaya Land) melalui surat tuntutan dihantar firma guaman mewakilinya serta Berjaya Land, Piere Chuah & Associates pada 4 Ogos lalu, memberi masa hingga tamat waktu bekerja hari ini untuk Muhammad Sanusi meminta maaf kepadanya dan membayar ganti rugi sebanyak RM200 juta.

Menurut surat itu, Muhammad Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) pada program Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) Best yang diadakan pada 2 Ogos lalu di Dataran Darulaman, Jitra, dekat sini.

Jika gagal berbuat demikian, Vincent akan memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan skim subsidi harga padi (SSHP) menjelang hari pengundian PRN di enam negeri.

“Tak patutlah (umum menjelang pilihan raya). Kalau tak ada pilihan raya, tak boleh buatkah? Buatlah di luar musim pilihan raya apa yang dilakukan ini nampak sangat. Sudah gaharu cendana pula. Kalau kita tak boleh bagi, pesawah marah kita pula,” katanya.

Beliau bagaimanapun menasihatkan kalangan pesawah terlibat agar mengambil wang tersebut tetapi tetap memberi undi kepada PN.

“Dari sudut pesawah, tentulah ucap terima kasih tetapi saya nak pesan juga kepada mereka, terima duit itu tetapi undi PN. Kalau kita ambil duit itu dan beri undi kepada ‘dia’, duit itu jadi rasuah pilihan raya. Jadi untuk mengelak daripada menjadi rasuah pilihan raya, maka undi PN, halal duit itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI