fbpx

Penjawat awam rugi RM118,767 ditipu tawaran kerja sambilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUANTAN – Hasrat seorang penjawat awam mendapat bayaran lumayan melalui kerja dalam talian bukan sahaja tidak kesampaian, malah mangsa mengalami kerugian sebanyak RM118,767.49 selepas ditipu sindiket tawaran kerja sambilan palsu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 23 Julai lalu selepas mangsa yang merupakan wanita berumur 22 tahun berkenalan dengan seorang wanita di aplikasi Instagram.

“Suspek mempamerkan satu kerja yang tidak dapat diselesaikannya dan menawarkan mangsa menyelesaikan tugasan tersebut dengan berhubung dengan nombor telefon yang diberi untuk mendapatkan bayaran lumayan.

“Setelah berbincang di dalam talian dengan suspek, mangsa berminat dengan tawaran kerja tersebut dan mangsa diberikan satu pautan yang mana mangsa perlu tangkap layar barangan dan hantar kepada suspek,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa juga diminta membuat pemindahan wang mengikut harga barang yang ditangkap layar berkenaan bagi menebus keuntungan.

Menurutnya, mangsa mula membuat dua kerja yang diberikan oleh suspek dan mendapatkan keuntungan sebanyak RM47.

Katanya dengan keuntungan tersebut, mangsa mula percaya dan membuat 20 kali pindahan wang ke-11 akaun bank berlainan.

Beliau memberitahu, sumber kewangan mangsa adalah daripada duit simpanan, pinjaman rakan dan pinjaman bank.

Dalam pada itu katanya, polis menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

“Masyarakat perlu mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu seperti latar belakang syarikat yang ditawarkan dan diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI