fbpx

Teruja lihat TMJ dari dekat walaupun lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Ismail bertanyakan sesuatu kepada Mariana ketika KMJ singgah di Kluang semalam.

KLUANG – Ahli keluarga dua insan istimewa yang menghidap penyakit lumpuh dan lebihan cecair dalam otak gembira apabila anak dan isteri mereka berpeluang menatap wajah kerabat diraja Johor secara dekat apabila Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 edisi ke-23 singgah di sini semalam.

Nor Rahil Raihan Mohd. Shahrul, 5, yang menghidap penyakit cecair berlebihan dalam otak (hidrosefalus) dan pesakit ­angin ahmar, Mariana Marpok, 48, bergitu teruja biarpun menanggung sakit.

Mereka gembira apabila dapat mendekati Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengetuai KMJ pada tahun ini.

Ibu Nor Rahil, Aisyah Mohd. Salleh, 34, berkata, dia dan suami, Mohd. Shahrul Hassan, 38, membawa anak bongsu daripada empat beradik itu keluar pada pukul 8.30 pagi.

“Kami akan sertai acara setiap kali KMJ. Dua anak kami sudah meninggal dunia atas masalah kesihatan pada usia 13 tahun dan sebulan. Seorang lagi anak, Nor Izzue Islam, 8, bersekolah,” katanya ketika ditemui di Laman Kembara Paloh di sini.

Dalam pada itu, suami Mariana, Mohamed Kamsin, 55, berkata, isterinya yang beriya mahu dibawa ke KMJ kali ini kerana mahu jumpa TMJ secara berdepan.

“Syukur kami dapat jumpa berdepan hari ini (semalam). Isteri saya sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci sebelum diserang strok tiga tahun lalu selepas terjatuh bilik air,” katanya.

Sementara itu, seorang tukang masak Muhammad Fairuz A. Rahman, 40, bersyukur apabila TMJ memberi respon positif ketika menyantap menu ikan lais tempoyak ketika rombongan itu singgah di Sungai Teminggol, Kampung Sri Lukut di sini.

Pengusaha kedai makan Pit Stop Sungai Kahang itu berkata, menu istimewa yang dihi­dangkan itu sinonim dengan kawasan Kahang di Kluang dan ia pertama kali disantap kerabat
diraja selepas 20 tahun dia berniaga.

“Perasaan berdebar, takut dan macam-macam lagi hilang apabila TMJ memberikan respon positif,” katanya.

TMJ turut menanam anak pokok meranti sebagai simbolik ketibaannya di situ selain menyertai pelbagai acara bersama rakyat.

Dalam pada itu seorang pelukis, Zulkifli Dahlan, 56, memberitahu, dia mengambil masa dua hari untuk menyiapkan lukisan potret Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Ismail.

“Idea itu datang ketika melukis mural di laman ini sebagai persiapan menyambut kedatangan KMJ 2023 kali ini. Sebelum ini saya pernah hadiahkan gambar mahkota tetapi hari ini (semalam) saya serahkan potret pula,” katanya.

Bapa kepada enam cahaya mata itu menjadi pelukis profesional lebih 30 tahun dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Rekaan, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, ­Selangor.

Terdahulu, rombongan keluarga Diraja Johor itu tiba pada pukul 10.50 pagi.

Berangkat sama ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abd Rahman; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar serta Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Selepas 30 minit meluangkan masa dengan penduduk di Paloh di sini, konvoi keluarga diraja meneruskan perjalanan ke lokasi ketiga di Taman Eko Rimba Sungai Bantang, Labis, Segamat.

KMJ 2023 akan menjelajah merentasi 10 daerah dengan perjalanan sejauh 879 kilometer yang bermula 5 Ogos hingga esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI