fbpx

14 juta kanak-kanak Sudan kelaparan akibat perang saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang kanak-kanak mengisi air di halaman universiti Al-Jazira yang dijadikan tempat perlindungan sementara di al-Hasahisa, selatan Khartoum pada 8 Julai lalu. - AFP

KHARTOUM, Sudan – Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa 14 juta kanak-kanak di Sudan ‘sangat memerlukan’ bantuan kemanusiaan selepas perang saudara memburukkan lagi krisis kelaparan, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

“Angkanya sangat mengejutkan. Jumlah 14 juta yang dicatatkan ini hampir menyamai bilangan kesemua kanak-kanak di Colombia, Perancis, Jerman atau Thailand. Mereka ini sangat memerlukan bantuan kemanusiaan,” kata Timbalan Pengarah Eksekutif UNICEF, Ted Chaiban.

Tambahnya, lebih 17 juta kanak-kanak Sudan yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka menghadapi risiko kelaparan, penyakit, keganasan dan perpisahan keluarga.

Jumlah itu adalah tambahan kepada bilangan 1.9 juta kanak-kanak yang telah kehilangan tempat tinggal sebelum perang saudara di Sudan tercetus.

“Seramai tiga juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami kekurangan zat makanan dengan 700,000 daripada mereka berisiko berdepan masalah kekurangan zat makanan akut dan kematian.

“1.7 juta kanak-kanak di bawah usia satu tahun pula berisiko terlepas vaksinasi penting sekali gus meningkatkan risiko dijangkiti wabak penyakit,” tambah Chaiban.

Sejak perang saudara di Sudan tercetus pada pertengahan April lalu, sekurang-kurangnya 435 kanak-kanak terbunuh dan lebih 2,025 lagi cedera, demikian menurut UNICEF.

Lebih 20 juta orang di Sudan menghadapi masalah kelaparan yang teruk, angka yang meningkat hampir dua kaki ganda sejak setahun lalu.– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI