fbpx
Dengan bantuan bomoh Hussein, Suzana akhirnya berjaya dibawa keluar dari kampung bunian. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Misteri kanak-kanak hilang disorok bunian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PESANAN orang tua kepada golongan muda ada kalanya merimaskan, sedangkan tujuan kumpulan yang lebih dulu makan garam itu hanya untuk kebaikan bersama.

Panorama kali ini membawa naratif penuh pengajaran, apakah akibat jika nasihat dan panduan hidup yang berguna ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri?

Golongan tua di sebuah kampung terletak di salah satu negeri di utara tanah air sering berpesan kepada kanak-kanak supaya jangan bermain di belukar kecil.

Kebanyakan kanak-kanak mendengar nasihat tersebut, tetapi ada yang degil sehingga mendapat pengajaran akibat ingkar dengan kata-kata golongan tua.

Kisah ini diceritakan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Usop, 54, dari Banting, Selangor. Ia melibatkan saudara-maranya kira-kira 40 tahun lepas.

Menurut Usop, belukar kecil tersebut adalah sebahagian daripada kampung orang bunian dan orang tua-tua cukup bimbang jika anak mereka bermain di lokasi tersebut.

“Kisahnya berlaku apabila seorang kanak-kanak bernama Suzana berumur 8 tahun yang terkenal dengan keletah hilang pada satu petang.
“Rumahnya tidak jauh dari belukar tersebut. Sebelum itu puas keluarganya mencari di serata ceruk kampung, namun tidak bertemu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.Usop berkata, setelah usaha mencari tidak berjaya, bapa kanak-kanak tersebut meminta nasihat bomoh Hussein yang merupakan orang tua berpengalaman dengan perubatan tradisional.

Jelas Usop lagi, bomoh Hussein pada mulanya enggan membantu disebabkan kecuaian ibu bapa Suzana menjaga anaknya.

“Setelah dipujuk oleh orang kampung dan ibu bapa Suzana, barulah dia sanggup membantu usaha mengesan kanak-kanak malang itu.

“Bomoh Hussein selepas melakukan upacara tradisional terus menjadi berang. Katanya, kanak-kanak perempuan itu degil kerana melanggar kawasan bunian.

“Katanya lagi, inilah padah jika bermain di tempat yang dilarang sejak zaman-berzaman di kampung tersebut,” katanya.

Bomoh Hussein menunjukkan kawasan belukar kecil yang dilarang masuk tersebut sebagai lokasi pencarian kanak-kanak hilang itu.

Penduduk kampung dan ibu bapa Suzana terus bergegas ke kawasan larangan tersebut.

“Bomoh Hussein dengan suara garau memarahi mereka kerana tindakan menyerbu kawasan tersebut boleh membahayakan nyawa Suzana.

“Bomoh Hussein berkata, biar dia dan bapa Suzana sahaja yang masuk ke belukar kecil itu, sementara penduduk kampung lain menunggu di luar belukar,” ujarnya.

Mengulas lanjut Usop berkata, bomoh Hussein meminta seorang penduduk kampung melaungkan azan sebelum masuk ke belukar berdua bersama bapa kanak-kanak malang itu dengan berpakaian ala pendekar.

Usop berkata, ketika itu waktu maghrib semakin hampir, ibu dan saudara-mara Suzana pula mula saling berpelukan menangis kerana bimbang sesuatu yang buruk terjadi.

“Hampir 10 minit bomoh Hussein dan bapa kanak-kanak itu masuk ke dalam belukar kecil tersebut.

“Sepanjang waktu itu semua orang berasa bimbang hingga kesemuanya diam seribu bahasa.

“Tidak lama kemudian kelibat bomoh Hussein dan bapa Suzana kelihatan.

“Misi berjaya, tapi Suzana yang berada dalam rangkulan bapanya diam tidak berkutik,” jelasnya.

Tambahnya, ibu dan saudara-mara Suzana meraung kesedihan kerana menyangka kanak-kanak itu telah meninggal dunia.

Setelah dijelaskan bomoh Hussein barulah mereka berhenti menangis.

Suzana yang pengsan dibawa pulang ke rumahnya untuk dirawat.

“Di rumah kanak-kanak itu, bomoh Hussein mengadakan upacara pulih semangat dan tidak lama selepas itu Suzana mula sedar, sebelum memeluk erat ibunya.

“Apa yang berlaku seperti yang diceritakan Suzana amat menyeramkan.

“Dia diajak oleh seorang nenek tua ke dalam belukar kecil, walaupun enggan,” katanya.

Usop memberitahu, Suzana menceritakan di ‘kampung’ bunian itu, dia bermain permainan seperti gasing dengan cucu nenek bunian tersebut.

Cerita Usop lagi, orang ‘kampung’ bunian tersebut semua baik-baik belaka hingga menyebabkan Suzana leka berada di situ.

“Sebenarnya semasa bomoh Hussein dan bapa Suzana menemuinya, mereka melihat dia sedang terpana merenung piring kecil di hadapannya dan bukannya gasing.

“Suzana kata, ‘piring putih’ yang dilihat sebagai gasing tersebut berpusing laju hingga membuatnya leka sehingga dia malas hendak pulang ke rumah,” ujarnya.

Usop mengakhiri ceritanya dengan berkata, Suzana selepas peristiwa tersebut serik untuk ke kawasan belukar kecil itu lagi.

Kata Usop lagi, selepas peristiwa itu, para penduduk kampung terutama kanak-kanak tidak berani lagi bermain di belukar kecil.

Tambahnya, sehingga hari ini pun, tiada kanak-kanak berani bermain di belukar berkenaan, walaupun selepas empat dekad berlalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN