fbpx

PRN: BN-PH tawar hapus tunggakan bil air jika dapat tadbir Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Jazlan (dua dari kanan) menunjukkan buku Tawaran Kepada Rakyat Kelantan pada Majlis Pengisytiharan Tawaran Kepada Rakyat Kelantan - Perpaduan Demi Kestabilan di Bangunan UMNO Kelantan, Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Gabungan Barisan Nasional – Pakatan Harapan (BN-PH) berjanji akan menghapuskan tunggakan bil Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dan menurunkan caj permohonan bekalan air domestik bagi kediaman sekiranya diberikan mandat untuk memerintah Kelantan.

Pengerusi Parti Kerajaan Perpaduan Madani Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, tawaran tersebut merupakan salah satu daripada 34 usaha BN-PH dalam membantu rakyat dalam aspek ekonomi menerusi empat teras Tawaran Kepada Rakyat Kelantan – Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran.

Menurutnya, BN-PH menawarkan tawaran-tawaran tersebut menerusi teras Syiar Islam, Ekonomi, Pendidikan, Wanita dan Orang Muda selain Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara.

“Tawaran yang dibuat oleh BN-PH di Kelantan ini bukan satu laungan retorik. Ia dilakukan bagi memastikan perjalanan urus tadbir negeri untuk kepentingan rakyat.

“Jadi, kita berharap rakyat dapat memikirkan masa depan Kelantan yang kita sayangi ini pada 8 Ogos (hari pengundian awal) dan 12 Ogos,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Pengisytiharan Tawaran Kepada Rakyat Kelantan – Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran di Bangunan UMNO Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan memberitahu, BN-PH turut membuat tawaran menurunkan premium tanah sebanyak 50 peratus, menurunkan cukai tanah termasuk tunggakan yang dinilai semula mengikut kadar baharu dan menurunkan caj pecah sempadan selain ubah syarat tanah sebanyak 50 peratus.

Menurutnya, lesen perniagaan perniagaan dan kadar cukai pintu juga akan diturunkan sehingga 50 peratus.

“Kita turut menawarkan bantuan perkahwinan sebanyak RM2,000 kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan kali pertama, membina 5,000 unit rumah mampu milik dan bantuan RM1,000 untuk ibu bersalin anak pertama.

“Selain itu, gabungan BN-PH turut menawarkan bantuan ‘one-off’ RM3,000 kepada anak Kelantan yang menerima tawaran institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan tawaran institusi pengajian tinggi awam (IPTS),” ujarnya.

Menurutnya, pihaknya turut menawarkan tiket percuma bas dan kereta api untuk mahasiswa anak Kelantan pergi dan pulang sebanyak dua kali setahun selain biasiswa tahunan sebanyak RM300 kepada pelajar tingkatan enam.

“Kita juga menawarkan bayaran tempat letak kereta di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dimansuhkan dan menaik taraf pasar awam di seluruh Kelantan.

“Sekiranya diberikan mandat, kita akan mewujudkan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara melibatkan Parlimen Machang, Pasir Mas. Rantau Panjang, Tumpat, Pasir Puteh, Ketereh, Kubang Kerian, Pengkalan Chepa dan Kota Bharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI