fbpx

Bekas pramugari buka spa kerana obses kecantikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARIFAH AZURA turut mengeluarkan beberapa produk kecantikan dengan menggunakan teknologi ‘peptide’.

BEBERAPA tahun lalu, wanita ini banyak menghabiskan masa di awan biru sebagai pramugari syarikat penerbangan nasional Malaysia.

Pagi dan malamnya dihabiskan di dalam pesawat untuk melayan pelbagai ragam serta kerenah penumpang tanpa rasa jemu.

Selepas lima tahun berkhidmat, Tengku Puan Bendahara Perlis, Datin Seri Diraja Sharifah Azura Al-Juffry mengambil keputusan untuk bernikah pada usia 23 tahun.

Beliau terpaksa membuat satu keputusan berat dalam hidupnya untuk mengundur diri daripada kerjaya yang memang diidamkannya itu.

Selepas berhenti, Sharifah Azura nekad mengasaskan sebuah spa kecantikan dikenali sebagai Zoera Medispa & Aesthetic pada 2019.

Beliau memilih perniagaan tersebut kerana minat mendalam terhadap dunia kecantikan memandangkan sudah terbiasa dengan imej cantik ketika bekerja sebagai pramugari.

Menurut Sharifah Azura, spa kecantikan miliknya sebelum ini beroperasi di Bangi, Selangor sebelum berpindah ke Cyberjaya pada 2020.

“Selepas lima tahun berkhidmat sebagai anak kapal dan bertemu jodoh, saya ambil keputusan meninggalkan kerjaya tersebut dengan berat hati.

“Berbekalkan wang simpanan semasa bekerja, saya jadikannya sebagai modal untuk membuka spa kecantikan berasaskan rawatan ‘peptide’ dari Korea Selatan,” katanya memulakan bicara bersama Aura.

SHARIFAH AZURA (tengah) bergambar bersama petugas Zoera Medispa & Aesthetic di Cyberjaya, Selangor.

Meneruskan perkongsian, Sharifah Azura berkata, spa kecantikan miliknya itu terpaksa ditutup ketika tahun kedua operasi selepas dunia dibadai pandemik Covid-19.

“Selama dua tahun kami tidak dapat beroperasi. Pun begitu, sewa premis tetap dibayar setiap bulan sepanjang hampir dua tahun itu.

“Jujur saya katakan, gaji tiga orang staf juga tidak pernah saya potong dan bayar seperti biasa tanpa memberhentikan mereka sepanjang pandemik melanda,” ujarnya yang terpaksa membelanjakan lebih RM13,000 sebulan untuk menanggung segala kos tersebut.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, dia mengakui pernah berputus asa dan hampir menjual perniagaan kecantikannya itu, namun mujur dapat diselamatkan akhirnya.

Ujarnya, suaminya juga banyak membantu dalam hal-hal pentadbiran dan operasi perniagaan, sekali gus menjadi inspirasi kepadanya untuk terus menguruskan bisnes berkenaan.

“Selepas negara membenarkan perniagaan berasaskan spa kecantikan beroperasi semula pada pertengahan 2021, kami tidak menunggu lama untuk terus mempromosi dan memberikan rawatan terbaik kepada pelanggan.

“Alhamdulillah, spa kami semakin lama semakin dikenali. Jika ada rezeki, memang ada perancangan untuk membuka cawangan baharu nanti.

“Namun, kami ingin memberi fokus di Cyberjaya terlebih dahulu,” katanya yang turut dibantu Izza Sudirman sebagai pengurus merangkap konsultan kecantikan di spa miliknya itu.

Ditanya faktor memilih rawatan ‘peptide’, Sharifah Azura berkata, konsep tersebut sebenarnya sudah lama dan sangat popular di Korea Selatan.

“Jika ‘peptide’ diletakkan ke dalam produk, ia akan merangsang kulit wajah mengeluarkan lebih banyak kolagen.

“Semakin banyak kolagen dihasilkan, semakin tegang kulit wajah.

“Ini membolehkan seseorang itu kelihatan awet muda, selain menghilangkan radiasi dan keradangan.

“Kami juga percaya penggunaan ‘peptide’ merupakan antara rawatan berkesan yang dapat memulihkan kulit wajah daripada sinaran ultraungu,” katanya.

Mengakhiri perkongsian, Sharifah Azura berkata, penting kepada mana-mana pemilik pusat kecantikan atau medispa mendapatkan sijil kelulusan dan belajar mengenai rawatan kecantikan kulit sebelum memulakan perniagaan.

“Ilmu sangat penting. Sebelum menceburkan diri dalam bidang ini, saya juga pergi ke kelas estetik dan kecantikan wajah yang diajar oleh pakar serta doktor secara profesional.

“Saya juga perlu menduduki peperiksaan untuk mendapatkan lesen dan sijil,” ujarnya.

Menariknya, Zoera Medispa & Aesthetic turut menawarkan rangkaian produk kosmetik menggunakan teknologi ‘peptide’.

Antaranya, Premium 02 Bubble Cleanser, Peptide Hydrating Toner, Premium Peptide Intensive Serum, Premium Peptide Plus Cream dan UV Defense SPF 50.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI