SEJAK dirinya tidak boleh meminum kopi, jejaka itu beralih kepada teh sebagai pengganti minuman pagi untuk memulakan harinya.
Tanpa disangka, minuman yang kurang dinikmatinya itu lebih menyegarkan dan memberi semangat untuknya menjalani hari terutama semasa bekerja.
Menurut seorang pekerja swasta, Ridzwan Affendi, 28, dia sebelum ini merupakan seorang peminum tegar kopi, namun sekitar dua tahun lalu, badannya tidak boleh menerima minuman itu lagi.
“Seperti biasa, saya membeli kopi sebagai minuman wajib pada pagi hari, namun tanpa disangka selepas meminumnya, badan saya menjadi kembung, muntah-muntah dan jantung berdegup laju.
“Awalnya saya fikir kerana perut kosong, tetapi selepas cuba beberapa kali, reaksinya masih sama.
“Selepas itu, saya berhenti meminumnya,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Tambahnya, semasa fasa awal berhenti minum kopi, dirinya merasakan ada perubahan apabila pengambilan kafein berkurang secara mendadak.
Umpama ketagihan, ‘mood’ bapa kepada seorang cahaya mata itu berubah, jadi cepat marah dan kurang semangat untuk bekerja serta bergaul dengan rakan-rakan.
“Hanya peminum kopi yang tahu bagaimana harinya jika tidak dapat minuman ini.
“Mulanya agak sukar untuk saya menyesuaikan diri, namun fasa itu berakhir selepas seorang rakan mencadangkan saya dengan satu minuman alternatif.
“Minuman itu merupakan teh tetapi bukan seperti di kedai makan atau mamak. Sebaliknya, ia teh oolong bagi membantu mengurangkan keinginan saya untuk minum kopi terutama pada setiap pagi,” ujarnya.
Teh merupakan minuman yang popular di seluruh dunia dan mempunyai pelbagai jenis olahan serta ditanam di beberapa negara termasuk Malaysia. Pokok atau daun teh adalah spesies Camellia sinensis.
Sejarah teh merebak merentasi pelbagai budaya selama beribu-ribu tahun bermula dengan tumbuhan teh Camellia sinensis yang berasal dari Asia Timur. Ia mungkin berasal dari kawasan sempadan barat daya China serta utara Myanmar.
Salah satu minuman teh terawal adalah pada zaman Dinasti Shang China, di mana ia digunakan sebagai minuman perubatan.
Rekod awal yang boleh dipercayai, minuman teh bermula pada abad ketiga Masihi seperti dalam teks perubatan ditulis oleh pakar perubatan Cina, Hua Tuo. Teh mula dikenali oleh Barat melalui paderi dan pedagang Portugis di China pada awal abad ke-16.
Minuman teh menjadi popular di Britain pada abad ke-17. British memperkenalkan pengeluaran teh komersial kepada British India untuk bersaing dengan monopoli China.
Di Malaysia, teh terutama teh tarik menjadi minuman signatur di negara ini.
Tidak hanya itu, terdapat pelbagai jenama teh yang menjadi pilihan isi rumah di Malaysia. Salah satu jenama tempatan yang menjadi pilihan ialah Kean Guan Tea atau KG Tea yang diusahakan selama tiga generasi sejak 1940-an.
Syarikat itu memproses teh secara tradisional Cina sejak turun-temurun.
Menurut pewaris generasi ketiga, KC Koh, 46, sepanjang membesar, dia menyaksikan perkembangan teh menjadi minuman kesukaan masyarakat dan belajar seni produksinya.
Katanya, kebanyakan masyarakat melihat teh sebagai satu jenis yang sama iaitu teh serbuk atau uncang seperti di kedai runcit dan kedai makan.
“Hakikatnya, di dunia ini ada enam jenis teh iaitu teh putih (white), hijau (green), kuning (yellow), oolong, hitam (black) dan gelap (drak).

“Semuanya mempunyai khasiat yang sama iaitu antioksidan. Kesemua teh ini dihasilkan daripada pokok (daun) teh yang sama, namun melalui proses olahan berbeza seperti suhu pembakaran dan tempoh pengeringan.
“Manakala teh gelap pula adalah minuman yang difermentasi. Rasa dan aromanya juga berbeza untuk setiap jenis teh. Ini kerana, semakin lama ia dibakar atau dikeringkan, pembinaan rasanya juga semakin bertambah ke arah rasa kekacang,” katanya.
Tambahnya, teh segar seperti putih, kuning dan hijau melalui proses pembuatan yang singkat, manakala teh hitam serta gelap melalui proses lebih lama. Oolong pula melalui proses pembuatan pada kadar sederhana.
Berkongsi tentang sejarah jenama KG Tea, bapa kepada dua cahaya mata itu memberitahu, KG Tea telah ditubuhkan sejak tahun 1945.
Katanya, bermula dengan perniagaan menggunakan van, KG Tea mengkhususkan perniagaan mengimport dan mengedar teh Cina premium seperti teh oolong, teh hijau, teh gelap ‘puer’, teh jasmine, teh hitam dan sebagainya.
“Selama bertahun-tahun, kami mengekalkan prinsip menawarkan teh berkualiti pada harga berpatutan. Ia merupakan falsafah perniagaan kami yang tidak pernah berubah.
“Selain mengimport, kami juga mengolah dan mengadun teh sendiri supaya sesuai dengan cita rasa tempatan dengan mengekalkan khasiatnya,” ujarnya yang mengambil alih perniagaan sejak tahun 2012.
Kongsinya lagi, budaya minum teh berbeza di setiap negara dan ia sangat ketara terutama di China dan Britain.
“Di China, teh merupakan minuman kesihatan yang diolah dengan pelbagai campuran bahan kering lain seperti bunga melur, kurma merah dan ginseng.
“Minuman ini juga mempunyai khasiat tambahan berbeza sebagai remedi untuk membantu mengurangkan stres dan masalah kesihatan lain,” katanya.
KC Koh berkata, di Britain, teh menjadi minuman sarapan atau minum petang yang dijamu dengan kuih, manisan mahupun roti.
“Seperti kopi, teh juga mempunyai tahap nilai berbeza. Ada teh yang boleh mencecah harga ribuan ringgit untuk 100 gram.
“Kebiasaannya, teh ini merupakan teh peram (aged tea) yang disimpan dan terhindar daripada kelembapan, cahaya dan pencemaran bau. Ada juga teh yang mahal kerana lokasi penanaman di sekitar gunung, tidak diproduksi dengan banyak serta hanya terdapat di beberapa kawasan di China,” jelasnya.
















