fbpx
Mata boleh rosak disebabkan kecing manis. - Gambar hiasan

Hilang penglihatan angkara diabetes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM ini, kehidupan Nurul Atiqa Abdullah, 33, sama seperti insan-insan normal lain.

Namun, semua itu telah berubah pada bulan lalu apabila dia disahkan buta oleh pakar perubatan.

Malah, dia kini juga memerlukan tongkat untuk membantunya berjalan.

Menurut Nurul Atiqa, dia kehilangan salah satu pancainderanya itu disebabkan glaukoma yang merupakan penyakit mata.

“Penyebab utama yang membawa kepada masalah ini adalah kerana diabetes dan saya telah berhadapan dengan penyakit kencing manis ini sejak berumur 20 tahun lagi.

“Kesannya saya juga berdepan masalah buah pinggang tahap lima dan perlu menjalani dialisis sejak November tahun lalu.

“Beberapa bulan setelah menjalani dialisis, saya disahkan berdepan masalah mata dan akhirnya pakar mengesahkan saya buta pada bulan lalu. Kini, saya telah menjadi sebahagian daripada orang kelainan upaya (OKU),” katanya yang berasal dari Kluang, Johor kepada K2.

Nurul Atiqa menjelaskan, matanya itu tidak dapat diselamatkan lagi dan pakar menyatakan peluang sekiranya menjalani pembedahan cuma 20 peratus untuk berjaya dan risikonya amat tinggi.

“Kehidupan saya kini telah berubah sepenuhnya dan saya perlu menerima hakikat itu. Apa yang boleh saya lakukan sekarang adalah belajar tentang cara hidup orang buta,” terangnya.

Mengulas lanjut bagaimana dia boleh menghidap diabetes yang akhirnya meragut penglihatan, Nurul Atiqa berkata, semuanya adalah kerana tidak menjaga pemakanan sejak muda selain faktor keturunan.

“Sejak zaman kanak-kanak dan remaja lagi saya tidak jaga pemakanan dan selalu mengambil minuman manis terutama minuman bergas yang menjadi punca kepada semua ini.

“Seawal umur 20 tahun saya disahkan menghidap diabetes dan ketika umur 22 tahun saya sudah perlu mengambil insulin. Kesan daripada diabetes ini menyebabkan saya kemudian berdepan masalah buah pinggang seterusnya merebak kepada masalah penglihatan,” ujarnya.

Nurul Atiqa bukanlah satu-satunya penghidap diabetes yang kehilangan deria penglihatan di negara ini.

Sekitar Disember tahun lalu juga telah tular kisah seorang lelaki di Padang Terap, Kedah iaitu Lim Bun Lai, 56, yang buta akibat diabetes.

Apabila menyebut tentang diabetes, kebiasaan yang terlintas di fikiran adalah ia menjadi punca masalah-masalah kesihatan lain seperti penyakit jantung, buah pinggang dan amputasi.

Bagaimanapun, diabetes juga boleh menyebabkan kehilangan penglihatan dan ini merupakan punca biasa yang menyebabkan kebutaan dalam kalangan orang dewasa.

Namun, sebanyak 64 peratus daripada rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa penyakit diabetes boleh menyebabkan penyakit mata.

Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretinal di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Peh Khaik Kee berkata, satu daripada lima rakyat Malaysia iaitu kira-kira 4.6 juta merupakan pesakit diabetes.

Menurutnya, satu daripada tiga pesakit diabetes pula akan mengalami masalah penglihatan disebabkan penyakit tersebut.

“Satu per tiga pesakit, iaitu seramai 500,000 rakyat Malaysia akan mengalami penyakit mata yang menjejaskan penglihatan disebabkan penyakit diabetes.

PENYAKIT diabetes atau kencing manis lazimnya dikaitkan dengan kadar gula yang tinggi
di dalam darah. – GAMBAR HIASAN

“Penyakit diabetes memberi beberapa kesan kepada mata termasuk perubahan pada kanta yang menyebabkan penglihatan menjadi kabur dan peningkatan tekanan pada mata mengakibatkan glaukoma.

“Kerosakan pada saraf yang mengawal otot mata sehingga menyebabkan penglihatan berganda atau double vision dan kerosakan pada saluran darah di retina juga mengakibatkan retinopati diabetik iaitu keadaan mata yang sering dikaitkan dengan penyakit diabetes,” katanya.

Retinopati diabetik telah menjadi perkadaran epidemik kerana Malaysia membelanjakan 16 peratus daripada bajet penjagaan kesihatan negara untuk penyakit diabetes.

Ini menjadikan Malaysia antara 10 negara di dunia yang berada di tangga teratas dengan peratusan belanjawan penjagaan kesihatan tertinggi dikhaskan untuk penyakit tersebut.

Jelas Dr. Khaik Kee, faktor utama penyumbang isu ini adalah disebabkan tahap kesedaran yang rendah.

“Ramai pesakit diabetes tidak menjalani pemeriksaan mata secara berkala untuk mengesan tanda-tanda penyakit tersebut. Tiada gejala tertentu untuk retinopati diabetik dan ia tidak akan menyebabkan pesakit terbabit kehilangan penglihatan sehingga kemudian hari,” jelasnya.

Tambahnya, oleh itu, terdapat sejumlah besar pesakit yang berada pada tahap serius dan ini menunjukkan bahawa adalah penting untuk menjalani pemeriksaan secara berkala.

Berhubung pemeriksaan, jelasnya, sebelum ini, pemeriksaan mata yang standard untuk retinopati diabetik melibatkan mikroskop lampu slit (slit-lamp microscope) yang mana cahaya difokuskan ke dalam retina dan setiap segmen retina serta makula diperiksa.

Ini bermakna, pesakit perlu merenung cahaya yang terang selama lima minit untuk setiap mata dan ini akan menyebabkan pesakit tidak selesa, terutama jika seseorang pesakit itu sensitif terhadap cahaya.

Sebelum ini, titisan juga diberikan untuk mengembangkan anak mata pesakit dan ia mengambil masa untuk mengembangkan anak mata dengan berkesan bagi memastikan visualisasi terhadap retina adalah mencukupi.Pesakit akan mengalami penglihatan kabur sehingga empat jam selepas pemeriksaan dibuat.

“Terdapat banyak perkembangan baharu untuk memastikan pemeriksaan mata dilakukan dengan lebih berkesan, tepat, serta lebih selesa untuk pesakit.

“Kini, terdapat kamera fundus ultra-widefield yang boleh menangkap pandangan medan (field view) retina 150 darjah, iaitu tiga kali ganda berbanding kamera biasa,” terang Dr. Khaik Kee.

Menurutnya, penglihatan pesakit juga tidak akan menjadi kabur disebabkan titisan yang mengembangkan anak mata, malah mereka juga tidak perlu melakukan pemeriksaan slit-lamp yang lama dan tidak selesa.

“Kamera akan merakam imej dalam masa kurang satu minit dan kajian telah menunjukkan ketepatan sehingga 98 peratus dalam mengesan dan menentukan gred penyakit retina diabetes apabila ia digabungkan dengan pemeriksaan slit-lamp yang disasarkan.

“Ini membolehkan pakar oftalmologi mendapat maklumat lebih tepat kerana mereka dapat memeriksa imej secara digital dan memanipulasi imej itu bagi mendapatkan pandangan lebih terang serta tajam,” katanya.

Jelasnya, kehilangan penglihatan hampir boleh dicegah sepenuhnya dengan menjalani pemeriksaan berkala dan melalui intervensi awal.

“Pemeriksaan mata terhadap pesakit diabetes telah dimulakan secara rasmi di United Kingdom pada tahun 2009 dan pada tahun 2014, diabetes tidak lagi menjadi punca utama orang dewasa yang bekerja di negara itu hilang penglihatan,” katanya.

Sementara itu terangnya, rawatan retinopati diabetik bergantung kepada tahap keseriusan dan terdiri daripada terapi laser, suntikan dan pembedahan.

Terdapat suntikan yang memberi hasil positif untuk retinopati diabetik pada peringkat awal.

Namun, pesakit perlu menjalani prosedur rawatan secara intensif yang mana mereka perlu menerima suntikan setiap empat atau lapan minggu selama sekurang-kurangnya tiga tahun bergantung kepada jenis ubat.

“Saya berpendapat bahawa suntikan memberi hasil yang lebih baik berbanding terapi laser. Walaupun terapi laser mengurangkan risiko kehilangan penglihatan sebanyak 50 peratus, namun suntikan mempunyai 50 peratus peluang untuk mendapat lebih daripada tiga lapisan penglihatan.

“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kami gunakan gabungan terapi laser dan suntikan yang telah memberi respons baik,” katanya.

Terdapat juga teknik serta instrumen pembedahan baharu yang kurang invasif dan membuahkan hasil yang baik. Kini, kaedah pembedahan boleh dijadikan sebagai langkah awal untuk mengatasi penyakit ini secara berkesan.

Dr. Khaik Kee berkata, diabetes atau kencing manis adalah penyakit jangka masa panjang.

Menurutnya, sama seperti diabetes, retinopati diabetik juga tiada penawar dan mereka perlu bersaing dengan penyakit ini.

“Kira-kira 20 peratus daripada pesakit akan mengalami keadaan penglihatan semakin merosot walaupun mereka menerima rawatan mencukupi disebabkan penyakit diabetes yang tidak terkawal.

Dengan itu, saya perlu bekerjasama dengan pakar perubatan diabetes untuk merawat pesakit dengan lebih berkesan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN