GEORGE TOWN – Trend penurunan harga ayam segar dikatakan hanya berlaku di peringkat pemborong atau peniaga barangan asas itu sahaja iaitu sekitar RM6.90 hingga RM7 sekilogram sejak 5 Julai lalu.
Sebelum itu harga ayam peringkat itu adalah RM9.20 sekilogram.
Penurunan harga ayam berlaku dipercayai akibat kemasukan bekalan ayam yang banyak dari negara jiran, Thailand.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pemborong dan peniaga ayam di pasar awam negeri ini selain mendakwa penurunan harga barangan basah itu sudah berlaku dalam tempoh enam kali sejak awal bulan lalu dan kali terakhir pada Jumaat lalu.
Seorang peniaga ayam di Pasar Awam Chowrasta, Mohamad Nasir Abdul Kalam,32, berkata, pihaknya mula berlapang dada dengan kadar minima bagi pembelian harga ayam segar di peringkat pemborong dan pengilang.
Menurutnya, penurunan sehingga RM2 ketika ini bagaimanapun hanya membabitkan kumpulan peniaga atau pemborong ayam segar dan bukannya di peringkat pembeli atau pelanggan.
“Memang harga ayam segar turun secara berperingkat iaitu dari 5 Julai diikuti 9, 14, 17, 25 dan kali terakhir pada 28 Julai lalu. Namun ia berlaku bukan di peringkat jualan kepada pelanggan.
“Harga runcit bagi sekilogram ayam segar masih kekal sama mengikut penetapan harga kawalan kerajaan iaitu RM9.40 sekilogram ketika ini. Ada yang menjualnya sehingga RM10.40 sekilogram,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohamad Nasir memberitahu, jika benar ada ayam Thailand yang membuatkan harga ayam turun, pihaknya semenangnya lega kerana harga yang mahal sebelum ini sangat membebankan,
“Sejauh mana dakwaan itu, saya tidak pasti tetapi bagi saya ia memang satu kelegaan buat kami sekian lama terbeban dengan harga mahal,” ujarnya.














