fbpx

Perhimpunan LGBT: 8 lelaki pengikut ajaran The Ahmadi ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesemua suspek berusia 18 hingga 56 tahun ditahan kerana melakukan perhimpunan LGBT berhadapan pusat beli-belah Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai lapan individu yang terlibat dalam perhimpunan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) berhadapan pusat beli-belah di ibu negara, kelmarin.

Kesemua suspek warga tempatan yang berusia 18 tahun hingga 56 tahun itu turut disahkan pengikut ajaran ‘The Ahmadi Religion of Peace and Light’.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya mengesan satu perhimpunan tidak mematuhi peruntukan undang-undang lebih kurang pukul 5 petang.

Ujarnya, apabila pihak polis sampai di tempat kejadian, kumpulan tersebut melaungkan perkataan ‘Down down Syariah Court’ dan ‘Only God can judge’ sambil menyatakan hak-hak LGBT di Malaysia disekat.

“Salah seorang suspek yang ditahan pernah ditangkap awal bulan di Masjid Putrajaya kerana mengedarkan risalah berkaitan ajaran agama itu.

“Kesemua lapan individu tersebut direman selama satu hari semalam bagi siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, seramai 11 orang saksi turut diambil keterangan dan kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk menjalankan tindakan selanjutnya.

“Polis tidak ada kuasa untuk melakukan siasatan dari segi agama. Jadi, biarlah Jawi menjalankan tugas dengan mendalam terhadap kumpulan ini,” katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan kira-kira sekumpulan lelaki dilihat mengadakan perhimpunan berhadapan sebuah pusat beli-belah dengan membawa sepanduk berkaitan LGBT dan ajaran Ahmadi, kelmarin.

Individu-individu tersebut yang juga semuanya lelaki itu dilihat memegang sepanduk bertulis ‘Gay bukan satu jenayah. Jadi gay bukanlah jenayah’ dan ‘Tiada siapa yang boleh adili manusia kecuali Tuhan’ sambil melaungkan sesuatu.

Ada juga sepanduk dipegang bertulis ‘Ahmadi Agama keamanan dan cahaya mengutuk diskriminasi dan kezaliman terhadap orang-orang LGBT di Malaysia’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI