PETALING JAYA – Isu kesesakan pesakit sama ada di hospital awam mahupun swasta di Lembah Klang mencetuskan kegusaran dalam kalangan ibu bapa yang ingin mendapatkan rawatan segera untuk anak mereka.
Berdasarkan tinjauan, ada pihak mendakwa mereka terpaksa mengunjungi sehingga dua atau tiga hospital selain perlu menunggu selama dua hari untuk mendapatkan bilik atau katil.
Seorang pekerja swasta dikenali sebagai Jeff, 48, berkata, dia agak panik selepas dimaklumkan hospital berdekatan kediamannya di Nilai, Negeri Sembilan telah penuh dan tidak menerima sebarang pesakit.
Katanya, dia jugak agak tertekan berikutan anak perempuannya mengalami demam panas selain semput sejak Khamis lalu.
“Anak saya mula demam di sekolah dan mungkin berjangkit daripada rakan sekelas. Pada awalnya, saya bawa dia ke klinik dan doktor periksa kadar degupan jantungnya agak tinggi.
“Doktor maklumkan untuk bawa ke hospital jika keadaan semakin teruk. Namun, bila sampai di sebuah hospital swasta, mereka beritahu kena tunggu dua hari untuk dapatkan bilik dan cadangkan untuk pergi ke hospital awam.
“Saya rasa agak panik kerana takut hospital awam tidak terima anak saya. Mereka turut maklumkan yang kebanyakan hospital swasta yang lain juga penuh,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Jeff berkata, dia kemudian terpaksa membawa anaknya ke sebuah hospital swasta lain meskipun sedikit jauh kerana bimbang dengan keadaan anaknya.
“Bila sampai di sana, saya diberitahu mereka tidak terima kes yang memerlukan isolasi. Jadi bila periksa, mereka sahkan bahawa Amani kena Influenza A.
“Jadi Amani tidak boleh ditempatkan di situ dan mereka hanya bagi ubat anti-virus. Sejujurnya, saya masih risau kerana Amani perlu diberi perhatian rapi disebabkan mengalami dehidrasi,” ujarnya.
Seorang pekerja swasta dikenali Osman, 31, turut mengakui kecewa apabila anaknya yang berusia dua tahun mengalami demam panas dan terpaksa melalui proses mendapatkan rawatan yang agak lama.
“Sudah beberapa hari anak saya demam panas sebelum dibawa ke hospital. Ketika itu suhunya sudah mencecah 38 Celcius.
“Selepas kami dapat tahu beberapa hospital swasta terdekat penuh, kami terus bawa ke unit kecemasan hospital awam di Serdang,” katanya.
Osman berkata, anaknya terpaksa menunggu giliran lebih empat jam untuk bertemu doktor sebelum dimaklumkan mengenai rawatan.
“Kami tunggu dari pukul 2 petang sehingga pukul 6.30 petang baru tahu dia perlu dimasukkan ke hospital. Selepas itu, tunggu katil pukul 11 malam baru dapat bilik,” luahnya.














