fbpx

DUN Melaka lulus enakmen anti lompat parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUN Melaka sebulat suara meluluskan enakmen anti lompat parti pada pembentangn RUU Perlembangaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 di Seri Negeri, hari ini.

MELAKA – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan anti lompat parti.

Usul tersebut mendapat sokongan 24 ahli dewan undangan negeri (ADUN) termasuk dua ADUN pembangkang manakala empat ADUN tidak hadir sesi pengundian.

Seramai empat ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan iaitu Zulkiflee Mohd. Zin (BN-Taboh Naning), Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim), Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana dan Dr. Mohd. Aleef Yusof (PN-Sungai Udang).

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pindaan Seksyen 6 Akta A1663 telah memadamkan Sub-seksyen 5 Seksyen 6 dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam bahasa mudahnya, setelah pindaan ini berkuatkuasa mana-mana ADUN yang melepaskan jawatan kini tidak lagi disekat untuk bertanding semula. Pindaan Seksyen 7 Jadual Ke 8 Akta A1663 pula telah memasukkan Seksyen baharu iaitu Seksyen 7A yang mana melarang ADUN untuk bertukar parti.

“Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan merupakan peruntukan-peruntukan penting yang perlu dimasukkan ke dalam perlembagaan oleh mana-mana negeri.

“Kerajaan Negeri Melaka turut mengambil langkah untuk meminda perlembagaan bagi menyelaraskan undang-undang negeri dengan undang-undang di peringkat Persekutuan,” katanya pada pembentangan RUU Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, terdapat lima fasal dipinda daripada RUU Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 antaranya jika ADUN bertukar parti politik seperti yang disenaraikan oleh Perkara 13A, maka mereka akan kehilangan kelayakan sebagai ahli.

“Kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan di bawah Fasal (3) Perkara baharu 13A jika setelah dipilih ke DUN sebagai anggota suatu parti politik, dia melepaskan keanggotaan atau terhenti menjadi anggota parti politik itu.

“Perkara yang sama juga terpakai bagi calon Bebas yang setelah dipilih ke DUN, menyertai suatu parti politik. Perkataan ‘anggota suatu parti politik’ yang disebut dalam Perkara baharu 13A hendaklah termasuk ADUN yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk suatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota gabungan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI