fbpx

[VIDEO] Serangan balai polis: ‘Hari ini dia balik dengan jasad terbujur kaku’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azhar Khaiden mengimamkan solat jenazah anaknya, Ahmad Azza Fahmi di Kampung Poh Tambahan, Bidor hari ini. - Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI

TANJUNG MALIM – “Selama 20 tahun dia (Ahmad Azza Fahmi) dengan saya, dua tahun di Ulu Tiram tapi hari ini, dia balik dengan jasad terbujur kaku”

Demikian luahan sebak Azhar Khaiden, 54, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Klah, Sungkai sebaik sahaja selesai pengebumian anaknya, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor hari ini.

Ahmad Azza Fahmi, 22, merupakan seorang daripada dua anggota polis yang terbunuh dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor semalam.

“Semasa di Johor Bahru, saya tidak menitiskan air mata, tapi bila saat hilang daripada pandangan, barulah kesedihan itu terasa. Di luar orang lihat saya kuat, di dalam saya menangis tengah malam.  Maklum sahajalah, 20 tahun pertama dia dengan saya, dua tahun pula di Ulu Tiram, tapi baliknya dia dengan jasad terbujur kaku,” katanya.

Menurut bapa kepada lapan anak itu, perjalanannya dari Johor Bahru ke Perak juga meruntun hati apabila tidak dapat menahan tangisan apabila memandang keranda anaknya.

“Di hospital saya dikelilingi wartawan, ketika itu saya rasa kuat dan masih boleh tersenyum tetapi bila berada di samping keranda arwah, suasananya berbeza. Tadi, bila imamkan solat jenazah, hati saya tidak boleh tahan sebab tersentuh. Saya juga sepatutnya bacakan tahlil tapi hati tidak cukup kuat jadi saya serahkan kepada imam,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar memberitahu, dia telah menyuarakan hasrat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain agar abang Allahyarham, Ahmad Azza Fitri, 24, yang bertugas di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah dipindahkan ke Perak bagi mengembalikan semula semangat isterinya yang telah merundum.

“Anak lelaki kami hanya ada dua orang, seorang sudah pergi (meninggal dunia) dan seorang lagi pula jauh. Seorang lagi anak perempuan kami akan menjalani temuduga polis di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta pada Isnin ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI