fbpx

Sidang DUN Melaka: Garisan ‘glow in the dark’ tidak efektif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEKNOLOGI garisan jalan bercahaya dalam gelap atau glow in the dark.

MELAKA – Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk meneruskan percubaan menaik taraf teknologi garisan jalan bercahaya dalam gelap atau glow in the dark kerana ia tidak efektif.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kajian mendapati garisan itu tidak berkesan dalam membantu penglihatan pengguna jalan raya susulan terdapat banyak sumber pencahayaan di sepanjang jalan.

Kata beliau, garisan itu hanya berkesan di kawasan terlalu gelap tanpa kehadiran cahaya sekeliling.

“Tiada langsung jalan di Melaka yang betul-betul gelap kerana hampir keseluruhan jalan mempunyai cahaya sama ada daripada lampu jalan atau lampu-lampu rumah. Jika ada sedikit lampu pun tidak akan membantu pencahayaan malah ia (garisan) akan menyerap cahaya tersebut.

“Jadi, kita tidak bercadang untuk meneruskan inisiatif garisan jalan bercahaya dalam gelap ini,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai perancangan kerajaan negeri untuk meluaskan penggunaan garisan jalan bercahaya dalam gelap ke kawasan lain.

Sebelum ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melaksanakan projek perintis inovasi garisan jalan bercahaya dalam gelap di Jalan Kemuning-Hutan Percha, Jalan Tehel-Bukit Katil dan Serkam sepanjang 500 meter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI