fbpx

Bekas timbalan pengarah DBKL didapati bersalah terima rasuah RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mensabitkan bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd. Salleh terhadap dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

Hakim K. Muniandy membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mendapati Sabudin bersalah serta mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskannya selepas akhir kes pembelaan.

Beliau menetapkan 15 Ogos ini untuk kedua-dua pihak berhujah sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Ketika membacakan keputusan ringkasnya, Hakim Muniandy menyatakan, hakim Mahkamah Sesyen telah melakukan kesilapan serius ketika melepas dan membebaskan tertuduh pada akhir kes pembelaan.

Pada hemat beliau, hakim bicara terkhilaf ketika menerima pembelaan Sabudin bahawa beliau tidak mengenali mahupun pernah bertemu dengan saksi utama pendakwaan, Wong May Kuan (subkontraktor kepada Dusari Niaga) yang namanya disebut dalam pertuduhan.

Hakim Muniandy berpendapat, pembelaan tertuduh jauh sekali boleh dipercayai kerana May Kuan yang merupakan saksi pendakwaan ketiga (SP3) mengenali Sabudin dan pernah menghadiri majlis pernikahan anak lelakinya.

“Keterangan itu tidak disangkal. Tiada sesiapapun termasuk tertuduh yang akan menjemput orang asing ke majlis perkahwinan yang merupakan satu majlis sosial. Jemputan itu membuktikan tertuduh mengenali SP3,” ujar hakim berkenaan.

Hakim Muniandy selanjutnya berpuas hati, hakim bicara tersalah arah dari segi undang-undang kerana beliau tidak sepatutnya mengandaikan SP3 sebagai rakan sejenayah atas niat atau tujuan apa sekalipun.

Ujar beliau, meskipun SP3 memberi rasuah RM200,000 kepada Sabudin, ia dibuat atas permintaan tertuduh sebagai balasan mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

Hakim Muniandy turut berpendapat, hakim Mahkamah Sesyen itu terkhilaf kerana tidak mempertimbang keterangan SP3 yang mana ia disokong oleh keterangan SP2, Wong Kim Kwok.

Beliau selanjutnya berpuas hati dengan keterangan dua saksi pembelaan bahawa Shabudin mempunyai kuasa meluluskan permit kerja kepada Dusari Niaga kerana tertuduh berkuasa penuh melantik mana-mana kontraktor yang pada fikirannya layak menjalankan kerja-kerja berkenaan.

Sehubungan itu, Hakim Muniandy berpendapat, hakim bicara terkhilaf dan tersalah arah dari segi undang-undang yang mewajarkan beliau untuk campur tangan dan memperbetulkannya dengan membenarkan rayuan pendakwaan.

Sehubungan itu, beliau mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan menggantikannya dengan sabitan terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Sesyen pada 15 September 2022 yang melepas dan membebaskan Sabudin, 61, daripada dua pertuduhan rasuah, di akhir kes pembelaan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI