fbpx

Pegawai Jakoa didenda RM3,000 terima suapan RM300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah selepas dikenakan hukuman denda RM3,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Hanya kerana menerima suapan berjumlah RM300 seorang Penolong Pegawai Pertanian di Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah Lipis dijatuhi hukuman denda sebanyak RM3,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini hari ini.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman terbabit selepas tertuduh, Ahmad Akmi Mohamad, 40, menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan pertama, Ahmad Akmi didakwa menerima suapan wang tunai tanpa balasan sebanyak RM200 daripada individu diketahuinya mempunyai hubungan kerja-kerja rasminya sebagai Penolong Pegawai Pertanian di Jakoa Lipis .

Tertuduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah restoran di Kuala Lipis, kira-kira pukul 4 petang pada 5 Januari lalu.

Bagi pertuduhan pilihan kedua pula, tertuduh sekali lagi didakwa menerima suapan tanpa balasan wang tunai bernilai RM100 melalui mesin deposit tunai berdasarkan perkara dan individu yang sama di Bank CIMB cawangan Mentakab, kira-kira pukul 1 tengah hari pada 7 Januari lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Seksyen 25 (1) Akta Surahanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izatti Abdul Mutalif yang meminta agar tertuduh dikenakan hukuman sewajarnya.

Tertuduh yang diwakili peguam, Khairul Amin Abdullah merayu agar hukuman ke atas anak guamnya itu dikurangkan kerana ia merupakan kesalahan pertama melibatkan tertuduh.

“Tertuduh mengakui kesilapan serta kesalahan dilakukan sebelum ini dan ini merupakan kesalahan kali pertama serta tidak ada sebarang kes melibatkan tertuduh.

“Tertuduh juga telah berkahwin dan memiliki dua anak berusia 12 dan 10 tahun, isteri tidak bekerja dan setelah kes berjalan, tertuduh ditahan kerja dan hanya dibayar gaji separuh dari gaji hakiki yang diterima,”katanya.

Selain menjatuhkan hukuman denda RM3,000, atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda, hakim juga memutuskan tertuduh tidak didakwa bagi baki pertuduhan pilihan kedua yang diambil kira mengikut Seksyen 25 (1) Akta Surahanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 19 Mei lalu di Mahkamah Sesyen Kuantan, Ahmad Akmi membuat pengakuan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan yang sama dan dikenakan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat termasuk perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sehingga perbicaraan kes itu selesai serta menyerahkan dokumen perjalanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI