fbpx

Nik Safuan jurulatih baharu skuad ragbi 7s

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK SAFUAN ISMADE (kanan) dilantik sebagai pengendali baharu skuad ragbi 7s bagi mempersiapkan pasukan menjelang Sukan Asia Hangzhou, China pada September nanti.

KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) berharap pelantikan ke­tua jurulatih baharu, Nik Safuan Ismade Nik Man dapat menamatkan segala kemelut dalaman pa­sukan ragbi 7 sebelah (7s) negara menjelang Sukan Asia Hangzhou, China pada September nanti.

Sebelum ini, KRM membuat keputusan merehatkan jurulatih 7s kebangsaan, Ahmad Fadzlee Ahmad Idriss berikutan keputusan kurang memberangsangkan sebelum diambil alih penolong jurulatih, Nik Mohd. Shahiddan Mohd. Zain.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berharap semua pihak dapat berlapang dada dan memberi sokongan padu kepada Nik Safuan Ismade dalam membentuk pemain terbaik sebelum berlepas ke China.

“Saya harap segala masalah sebelum ini selesai kerana kita sudah membawa jurulatih baharu untuk membimbing skuad Bunga Raya menjelang Sukan Asia Hangzhou nanti.

“Saya juga berharap jurulatih lama dapat terima keputusan ini dan berikan peluang kepada jurulatih baharu kita iaitu Nik Safuan Ismade mengendalikan skuad ini,” katanya kepada ­Kosmo! semalam.

KRM dalam satu kenyataan menjelaskan pelantikan Nik Safuan Ismade, 42, berdasarkan pengalaman luasnya sebagai jurulatih di peringkat kelab dan kebangsaan serta mempunyai sijil kelayakan diiktiraf Badan Induk Ragbi Dunia.

Jurulatih berusia 42 tahun itu merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan dari tahun 2003 hingga 2011 dan memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih pasukan lelaki 15s bawah 23 tahun pada tahun 2012 pada Kejohanan Causeway Challenge Shield dan penolong jurulatih pasukan 7s lelaki bagi Kejohanan HBSC 7s Series pada 2013 dan 2014.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai ketua jurulatih lelaki 7s bagi tahun 2015 dan 2016 dan ­telah membimbing pasukan ­wanita 7s kebangsaan bermula 2016 hingga 2021.

Sebagai bekas pengendali pasukan kebangsaan, antara kejayaan yang dikecapi oleh beliau sebagai ketua jurulatih sebelum ini adalah membawa pulang pi­ngat perak Sukan SEA 2015 bersama pasukan lelaki, pingat gangsa Sukan SEA 2017 dan 2019 bagi pasukan wanita serta Kejuaraan Trofi Wanita Asia 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI