fbpx

Fokus kesihatan rakyat demi kesejahteraan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk menyediakan keperluan ubat-ubatan, vaksin bagi membendung penularan penyakit berjangkit pada masa depan. – Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Keputusan kerajaan mengagihkan peruntukan kedua terbesar kepada sektor kesihatan menerusi Belanjawan 2023 dengan nilai RM36.3 bilion menterjemahkan prinsip Kerajaan Perpaduan untuk terus mengutamakan aspek kesihatan dalam menguruskan negara.

Peruntukan itu yang merangkumi pelbagai inisiatif terutamanya bagi menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat juga dilihat berperanan sebagai senjata penting buat negara khususnya dalam mendepani era pasca Covid-19.

Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Abdul Rais Abdul Latif berkata, ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menawarkan perkhidmatan menyeluruh kepada rakyat.

Katanya, rakyat pernah berdepan pelbagai cabaran termasuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan terbaik ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan situasi itu harus ditangani sebaiknya agar tidak kembali berulang.

“Memandangkan kita masih dalam fasa peralihan, fokus Belanjawan 2023 terhadap kesihatan merupakan langkah terbaik, sekali gus bakal memberi manfaat maksimum kepada rakyat.

“Susulan itu, banyak keperluan perlu disediakan dan ini menjadi penyumbang kenapa aspek kesihatan diberi perhatian utama dalam Belanjawan 2023,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Abdul Rais

Abdul Rais berkata demikian ketika mengulas tentang Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mana komponen utama dalam belanjawan kesihatan adalah untuk keperluan perolehan keperluan perolehan ubat-ubatan, bahan uji, vaksin dan bahan guna habis.

Ketika pembentangan di Dewan Rakyat, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 bilion bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak kepada 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

Antara inisiatif lain ditawarkan kepada rakyat ialah Skim Perubatan Madani khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Pada masa sama, kerajaan turut menyediakan RM80 juta bagi memperkasa Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40) yang turut merangkumi saringan penyakit kencing manis selain pemeriksaan atau saringan awal khas untuk golongan B40.

Abdul Rais menjelaskan, beberapa inisiatif yang difokuskan kepada golongan B40 membolehkan kumpulan itu menerima manfaat menyeluruh dalam penjagaan kesihatan berikutan kosnya semakin meningkat.

Industri kesihatan memerlukan peralatan dan teknologi terkini untuk merawat pelbagai penyakit yang semakin berubah. – Gambar hiasan

“Menerusi beberapa inisiatif itu, golongan B40 akan menerima manfaat terbaik.

“Justeru, pada pandangan saya, inisiatif yang diwujudkan memberi perhatian dalam memastikan penjagaan kesihatan rakyat kekal menjadi keutamaan,” katanya.

Lantaran itu, menurut Abdul Rais, rakyat perlu lebih cakna mengenai inisiatif ditawarkan menerusi Belanjawan 2023 seterusnya membolehkan mereka menikmati kelebihan ditawarkan kerajaan secara maksimum.

Dalam konteks ini, jelasnya, perincian mengenai inisiatif itu bukan perlu disalurkan kepada penduduk bandar sahaja, malahan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman juga perlu dijelaskan mengenai perkara ini.

“Susulan itu, kita perlu ada satu dasar atau sistem efisien bagi membolehkan rakyat mengetahui pelbagai inisiatif bagi menjamin kesejahteraan dengan menikmati apa yang ditawarkan kerajaan.

“Memandangkan kita berada dalam dunia digital, maka capaian Internet juga harus diberi keutamaan, lebih-lebih lagi bagi memastikan mereka yang di luar bandar mengetahuinya,” katanya.

Rakyat yang sihat pastinya akan membantu menyumbang untuk melaksanakan aktiviti ekonomi negara. – Gambar hiasan

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keseluruhan Belanjawan 2023 yang dirangka di bawah kepimpinan Anwar, Abdul Rais berkata, belanjawan berkenaan memberi penanda aras baharu khususnya dalam aspek kesihatan.

“Dalam situasi kesihatan diutamakan, rakyat yang sihat dan hidup sejahtera akan menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

“Justeru, aspek kesihatan sememangnya perlu diberi fokus utama dengan memastikan setiap warganegara dijaga sejak bayi hingga usia emas dan seterusnya mewujudkan masyarakat sihat dan berupaya membantu perkembangan ekonomi negara,” ujarnya.

Maklumat lanjut mengenai inisiatif di bawah Belanjawan 2023 boleh didapati di https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI