fbpx

Pertuduhan Safiey Ilias komunikasi seksual dua remaja cacat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Safiey ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDDIN/KOSMO!

AMPANG – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, dua pertuduhan yang dihadapi oleh usahawan kosmetik, Safiey Ilias berkaitan komunikasi seksual terhadap dua remaja lelaki, cacat kerana tidak menyertakan butiran khusus yang menjadi asas pertuduhan yang dihadapinya.

Peguam Harjeet Singh Sidhu berkata, dua daripada empat pertuduhan itu cacat kerana tidak menjelaskan butir-butir komunikasi seksual yang didakwa berlaku di antara tertuduh dengan kedua-dua remaja berkenaan.

Hujah beliau, ketiadaan butiran khusus tersebut menyukarkan pihaknya menyoal balas saksi-saksi dan menyediakan pembelaan kelak kerana perkataan yang digunakan hanya secara am.

Selain itu, Harjeet berkata, pihak pendakwaan juga belum menyerahkan rakaman sesi perbualan sidang video secara langsung di Instagram serta rakaman daripada Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) yang diambil daripada kedua-dua remaja berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memohon kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan diberi masa untuk mengemukakan penghujahan bertulis berhubung isu yang dibangkitkan.

“Pihak pembelaan memohon mahkamah mengeluarkan perintah terhadap isu yang dibangkitkan sebelum perbicaraan dimulakan.

“Saya tidak mahu timbul isu kelak mengapa perkara ini tidak dikemukakan pada peringkat awal,” ujarnya ketika membangkitkan bantahan awal secara lisan terhadap pertuduhan tersebut.

Hakim Norhazani Hamzah bagaimanapun mempersoal mengapa bantahan awal itu tidak dikemukakan pada pengurusan kes sebelum ini.

Mahkamah kemudian menetapkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis sebelum 7 Ogos ini dan pendengaran bantahan awal pada 16 Ogos manakala keputusan pula ditetapkan pada 24 Ogos.

Beliau turut melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini hingga Khamis ini dan menetapkan tarikh baharu pada 4, 5 dan 11 September serta 2 Oktober.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Binti Mahmad Zulhasnan berkata, isu berhubung bantahan awal itu tidak dibangkitkan sebelum ini dan pihaknya juga tidak menerima notis bahawa ia akan dikemukakan ketika prosiding hari ini.

Oleh yang demikian, beliau memohon masa untuk mendapat arahan daripada Pengarah Pendakwaan Selangor dan menjawab bantahan awal tersebut.

Safiey Ilias atau nama sebenarnya Mohd. Safiuddin Ilias, 29, didakwa atas dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual melalui platform Instagram dengan dua remaja lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun.

Usahawan kosmetik itu yang popular dengar lagu ‘Syinta Gila’ turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menggoyang-goyangkan payudara di hadapan dua remaja sama bagi maksud seksual.

Safiey Ilias didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, pukul 9 pagi pada 9 Jun 2021.

Pada 15 Ogos 2022, Safiey Ilias hadir di mahkamah yang sama bagi sebutan kes atas dua pertuduhan melibatkan perlakuan berunsur seksual terhadap seorang pelajar lelaki melalui laman Instagram.

Safiey Ilias hadir di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob selepas kesnya dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen Putrajaya ke Ampang.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Safiey Ilias didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI